Presiden Guinea-Bissau Akhiri Lawatan Rasmi Tiga Hari Ke Malaysia

Presiden Embalo melakukan lawatan ke Taman Botani, Kuala Lumpur diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif pada 5 Jun 2025. Foto RTM

SEPANG, 5 Jun – Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia hari ini.

Presiden Embalo diberikan upacara pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenam Muhammad Safwan Abdullah di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku menteri pengiring hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Embalo dan delegasinya.

Pesawat khas yang membawa delegasi dari Guinea-Bissau itu berlepas pada 11.55 pagi.

Anwar (kanan) bersama Embalo yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, menghadiri majlis makan tengah hari rasmi di Seri Perdana pada 4 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu Presiden Embalo melakukan lawatan ke Taman Botani Perdana di ibu negara. Kunjungan beliau disambut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Sebagai simbol persahabatan antara Malaysia dan Guinea-Bissau, Presiden Embaló turut menyempurnakan upacara penanaman pokok Merbau, yang merupakan pokok kebangsaan Malaysia. Lawatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang diplomasi, perdagangan serta kelestarian alam sekitar.

Anwar (kiri) bersama Embalo meraikan para penari kebudayaan semasa lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, menghadiri majlis makan tengah hari rasmi di Seri Perdana pada 4 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Semalam Malaysia dan Guinea-Bissau meneruskan komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan bidang tumpuan termasuk industri halal, kewangan Islam, tenaga dan pembinaan kapasiti.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Presiden Embalo, menekankan hubungan diplomatik Embalo yang kukuh dengan kuasa global utama, termasuk Emiriah Arab Bersatu, Perancis, Rusia, Amerika Syarikat dan beberapa negara Afrika.

Anwar (kanan) bersama Embalo yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, menghadiri majlis makan tengah hari rasmi di Seri Perdana pada 4 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar turut menyifatkan hubungan Malaysia dengan Guinea-Bissau sebagai pintu masuk strategik untuk meluaskan kehadiran negara di seluruh benua Afrika, meletakkan negara di Afrika Barat itu sebagai laluan penting untuk perdagangan, pelaburan dan penglibatan diplomatik.

Dalam lawatan sulungnya ke Malaysia, Presiden Embalo meluangkan masa meninjau keindahan persekitaran pusat pentadbiran negara Putrajaya dengan menaiki Cruise Tasik Putrajaya semalam, di samping melawat Menara Berkembar Petronas di ibu negara.

Malaysia dan Guinea-Bissau menjalin hubungan diplomatik pada November 1974.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *