Mesyuarat Kabinet Tak Bincang Kedudukan Tengku Zafrul – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
PUTRAJAYA, 5 Jun – Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membangkitkan sebarang isu berkaitan kedudukan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kerajaan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang medianya di kementeriannya hari ini.
“Tidak berbangkit dalam Kabinet (isu Tengku Zafrul),” katanya ringkas ketika ditanya media sama ada tuntutan UMNO untuk meminta satu lagi kerusi Kabinet susulan keputusan Tengku Zafrul itu ada disentuh dalam mesyuarat hari ini.
Tengku Zafrul sebelum ini mengumumkan meletak jawatan dan keluar UMNO, pada masa sama menyatakan hasratnya menyertai KEADILAN.
Tindakan itu dikritik pemimpin UMNO, dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menuntut supaya kedudukan menteri disandang Tengku Zafrul itu dipulangkan kembali kepada UMNO.
Mengulas penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 minggu lalu, Fahmi berkata, ketua negara dan kerajaan yang mengambil bahagian pada sidang itu turut menyatakan mereka sangat gembira dengan apa yang disediakan pihak Malaysia sebagai tuan rumah.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sedang meneliti apa cara terbaik untuk mengucapkan terima kasih (kepada ketua negara yang terbabit). Kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk menyatakan kemudian,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan selepas ini adalah persiapan untuk penganjuran Sidang Kemuncak ke-47 yang dijadual berlangsung Oktober depan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

