Prabowo Dapat Jeneral Empat Bintang Daripada Jokowi

Presiden Indonesia, Joko Widodo (tengah) memakaikan pingat emas empat bintang kepada Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto (kanan), yang membawa pangkat jeneral kehormat empat bintang, di Jakarta, Indonesia. Foto AFP

JAKARTA, 28 FebPresiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) hari ini menganugerahkan Prabowo Subianto, bakal penggantinya dan bekas komander pasukan khas tentera, dengan pangkat jeneral kehormat empat bintang.

Prabowo, yang juga Menteri Pertahanan, kini mendahului kiraan bagi saingan Pilihan Raya Presiden yang berakhir pada 14 Februari lalu, mengikut kiraan pantas tidak rasmi, dianugerahkan pangkat itu oleh Jokowi dalam satu majlis di ibu pejabat tentera di Jakarta.

“Penghormatan ini adalah satu bentuk penghargaan atas baktinya kepada rakyat dan negara. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jeneral Prabowo Subianto,” katanya, sebelum memakaikan pingat emas empat bintang itu kepada Prabowo.

Anugerah itu menandakan kemuncak kepada pencapaian dalam tentera bagi Prabowo, 72, yang pernah dipecat daripada pasukan keselamatan negara itu pada 1998.

Ketika itu, beliau menghadapi tuduhan terbabit dalam pencabulan hak asasi manusia di Timor Leste dan dikaitkan dengan kes kehilangan 13 aktivis pro-demokrasi ketika zaman pentadbiran bekas Presiden, Suharto.

Bagaimanapun, Prabowo tidak pernah berdepan sebarang pendakwaan atas tuduhan terbabit. Pada masa itu, beliau adalah seorang Leftenan Jeneral tiga bintang.

Prabowo, yang juga menantu Suharto, sentiasa menafikan salah laku itu dan pernah dilarang memasuki Amerika Syarikat (AS) ekoran dari dakwaan itu.

Prabowo memohon tinggal di Jordan selepas diberhentikan daripada tentera, namun dalam beberapa dekad sejak dia kembali ke Indonesia, beliau mula membina parti politik yang berpengaruh dan kembali dalam perkhidmatan awam.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (tengah) memakaikan pingat emas empat bintang kepada Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto (kanan), yang membawa pangkat jeneral kehormat empat bintang, di Jakarta, Indonesia. Foto AFP

Beliau kalah secara berturut-turut dalam saingan pemilihan presiden pada 2014 dan 2019 kepada Jokowi, sebelum dibawa masuk ke dalam kerajaan sebagai Menteri Pertahanan pada 2019.

Keputusan awal tidak rasmi menunjukkan Prabowo mempunyai petunjuk semakin jelas untuk memenangi pilihan raya itu, dengan jangkaan beliau akan dilantik sebagai Presiden Indonesia pada Oktober depan.

Penganalisis memberi amaran bahawa kemenangan Prabowo berlaku ketika Indonesia sedang mengalami kemunduran demokrasi.

Amnesty International Indonesia pula mendakwa kemenangan Prabowo kelak akan digunakan untuk ‘membersihkan’ dakwaan terhadapnya pada masa lalu.

Ikatan kerjasama antara Prabowo dan Jokowi semakin kukuh sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutama selepas anak lelaki Jokowi secara kontroversi dinamakan untuk bergandingan dengan Prabowo. – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *