Polis Turkiye Bebaskan 7 Tebusan Dari Lelaki Bersenjata

Anggota keluarga tebusan berkumpul ketika polis anti rusuhan Turkiye menyekat jalan menuju ke kilang milik Procter & Gamble di Daerah Gebze di Kocaeli dekat Istanbul, Turkiye. Foto AFP
GEBZE, 2 Feb – Polis Turkiye semalam membebaskan tujuh pekerja yang dijadikan tebusan oleh lelaki bersenjata mendakwa pejuang pro-Palestin yang memperjuangkan hak penduduk di sana.
Kes penculikan itu berlaku di sebuah kilang dimiliki oleh gergasi barangan pengguna Amerika Syarikat (AS), Procter & Gamble, berhampiran Istanbul dalam perbuatan yang disifatkan sebagai protes terhadap peperangan di Gaza.
Pegawai tempatan berkata, polis menjalankan operasi hampir tanpa sebarang kemajuan, sehingga lelaki bersenjata itu masuk ke bilik air.
Gabenor tempatan, Seddar Yavuz, memberitahu pemberita bahawa lelaki itu ditahan tanpa dicederakan.
“Matlamat lelaki itu adalah untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan membuka pintu Rafah di Mesir untuk penghantaran bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang terperangkap.

“Apabila dia keluar ke bilik air, pasukan keselamatan kami melakukan operasi tanpa mencederakan tebusan,” katanya.
Gambar dan video penyerang yang dikongsi dalam talian oleh salah seorang tebusan dan disahkan oleh AFP menunjukkan seorang lelaki – mukanya ditutup dengan selendang Palestin – memegang pistol kelihatan memakai vest bunuh diri yang diikat di dadanya.
Dia berdiri di sebelah lukisan bendera Palestin dan perkataan ‘pintu akan dibuka untuk Gaza’, yang dilukis di dinding menggunakan dengan warna merah.
Yavuz berkata, lelaki itu membawa dua senjata api dan kelihatan mempunyai bahan letupan diikat di dadanya, malah berkata mereka perlu menilai setiap kemungkinan yang ada.
Saudara-mara tebusan yang tertekan dan berkumpul di kawasan dikepung itu bertepuk tangan apabila dimaklumkan mengenai pembebasan tebusan oleh polis.
“Kami sangat gembira selepas menunggu berjam-jam lamanya. Alhamdulillah mereka semua selamat dan sihat,” kata Fatma Dursun, ibu saudara salah seorang tebusan kepada AFP.
Sementara itu, saudara-mara tebusan mempersoalkan mengapa penyerang mahu menyasarkan pekerja di Turkiye – sebuah negara yang sangat menyokong perjuangan Palestin dan menunjukkan solidariti bersama penduduk Gaza.
“Dia sepatutnya melakukan ini untuk Islam, tetapi menjadi orang yang paling memudaratkan Islam,” kata Sedat Degirmenci, yang menantunya dijadikan tebusan, kepada AFP.
“Jika anda melakukan ini untuk Palestin, pergi dan berjuang di sana,” tambah Cigdem Aydemir, ibu kepada seorang wanita berusia 26 tahun yang dijadikan tebusan di kilang itu.
Seperti saudara-mara yang lain, Aydemir mengikuti akaun Instagram tebusan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa, tetapi akaun itu tidak dapat diakses menjelang petang semalam. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
