Malaysia Kutuk Tindakan Beberapa Negara Eropah Henti Biaya UNRWA – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bercakap pada sesi temu bual khas bersama Al Jazeera yang dirakam secara tangkap layar melalui siaran video pada akaun Facebook rasminya hari ini. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 2 Feb – Malaysia mengutuk tindakan beberapa negara Eropah yang menghentikan sementara pembiayaan untuk Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berikutan dakwaan kononnya beberapa kakitangan agensi itu terbabit dalam serangan pada 7 Oktober lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan menghentikan bantuan dan sokongan kepada penduduk serta rakyat Palestin khususnya di Gaza yang terus berdepan kesengsaraan hidup sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Pertama kita kena kutuk tindakan ini. Kita tak boleh hentikan bantuan dan sokongan untuk rakyat dan penduduk yang berada dibawah kekejaman ini.
“Kita sedang bercakap isu pembunuhan beramai-ramai, ada isu kemudian mereka hentikan pembiayaan, ini tidak berperikemanusiaan.

“Rakyat dan kanak-kanak terbunuh, wanita terbunuh. (Tapi) kamu hanya ambil satu dua perkara teknikal,” katanya dalam temubual bersama Al-Jazeera petang tadi.
Anwar berkata Malaysia tegas dengan pendiriannya untuk terus membantu Palestin dan rakyatnya di Gaza, menerusi bantuan yang sudah disalurkan menerusi Mesir sejak tahun lalu.
“Kita di Malaysia mengambil pendirian untuk terus menyokong (perjuangan Palestin) dan jika diperlukan kita akan tingkatkan sokongan itu. Kita tak boleh hentikan sokongan pembiayaan untuk mereka,” katanya.
Anwar berkata, Barat perlu menerima realiti pendudukan Israel ke atas tanah Palestin sejak sekian lama, mencetuskan kemarahan penduduk di Palestin.
Malah katanya, kenyataan Israel mahu menghalau rakyat Gaza keluar dari tanah milik mereka sebagai sesuatu yang tak boleh diterima.
“Kamu (Israel) negara koloni. Kamu mahu ambil Palestin dan Gaza dan bercakap supaya mereka keluar dari negaranya. Saya sokong pendirian Presiden (Mesir) Fatah Al-Sisi (tidak benarkan penduduk Gaza tinggalkan tanah mereka), saya juga sama.
“Isunya adalah itu tanah mereka, rumah mereka. Mengapa mereka perlu memilih untuk meninggalkannya atau kononnya mereka cuba melindungi pengganas. Rakyat Palestin mesti pertahan negaranya,” katanya.
Ditanya keputusan kerajaan supaya syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM disekat dan tidak dibenar berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia, Anwar menegaskan negara ini mempunyai alasan jelas disebalik keputusan itu.
“Setiap tindakan yang kita ambil, ya..ini juga memberi kesan kepada perdagangan, tapi Malaysia negara demokrasi dan yakin kepada perdagangan yang bebas.
“Kita terus mengalu-alukan pelabur dari China dan beberapa negara Eropah. Setakat ini, tindakan itu tidak memberi kesan besar terhadap perdagangan dan pelaburan. Tapi saya harap ia akan terus berjalan dengan baik,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, Anwar mengumumkan keputusan kerajaan mengenai sekatan ke atas syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, kapal menggunakan bendera negara itu atau dalam perjalanan menuju ke sana, berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Keputusan itu yang berkuat kuasa serta-merta sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
