Polis Thailand Tolak Dakwaan Penahanan 6 Rakyat Malaysia ‘Dirancang Awal’

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mejar Jeneral Anuruth Imarb menunjukkan gambar 10 suspek yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah yang dikehendaki polis Thailand ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Wilayah Narathiwat Thailand. Foto Bernama

SUNGAI GOLOK, 9 Nov – Polis Thailand menegaskan penangkapan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis wanita Kelantan pada 1 November lepas tidak dirancang oleh sesiapa.

Sebaliknya, menurut Ketua Polis Sungai Golok, Jadsadavit Inprapan, serbuan dan tangkapan yang dibuat itu berdasarkan siasatan dan maklumat risikan yang dijalankan dalam tempoh tertentu.

“Sebelum ada tangkapan sudah ada siasatan (terlebih dahuu) sehinggalah sampai masa kita akan buat tangkapan mengikut prosedur yang ada.

Enam rakyat Malaysia yang ditangkap memiliki 6,000 pil di bandar Sungai Golok pada Jumaat, direman di Mahkamah Narathiwat dan dipenjara selama tiga bulan sementara menunggu siasatan lanjut.

“Kita akan siasat termasuk hantar dadah ke makmal dan cap jari… kini kami sedang menunggu laporan forensik kimia dan cap jari yang ada pada dadah yang dirampas itu… siasatan makan masa sebulan.

”Tidak kira sesiapa. Kami jalankan siasatan yang sama, tiada yang special sama ada artis atau VIP (orang kenamaan).

“Terpulang kepada mereka yang buat andaian mendakwa ada perancangan atau apa sahaja. Kami polis menjalankan tugas mengikut maklumat risikan dan prosedur yang ada,” tegas beliau dalam wawancara dengan media Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang mengatakan serbuan dan tangkapan ke atas enam individu berkenaan telah dirancang awal.

Mahkamah Narathiwat telah menolak permohonan ikat jamin bagi kesemua enam warga Malaysia, termasuk seorang penyanyi dikir barat dari Kelantan yang ditahan reman semalam kerana disyaki memiliki dadah.

Menjelaskan lanjut, Jadsadavit berkata, semasa tangkapan dibuat, pegawai dan anggota polis dari bahagian narkotik tidak mengetahui terdapat artis terkenal di dalam bilik berkenaan.

Jadsadavit turut memaklumkan, hasil pengeledahan di bilik hotel berkenaan turut menemui 6,000 biji pil Yaba yang disorok di dalam bilik air.

Beliau turut menafikan dakwaan terdapat dua individu yang melarikan diri sebelum serbuan dilakukan seperti yang dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa.

Menyentuh perkembangan siasatan enam tahanan di penjara Narathiwat, beliau memaklumkan, pihaknya kini sedang menunggu laporan forensik, keputusan ujian kesan cap jari di bungkusan dadah dan sebagainya.

Jelasnya, apabila laporan itu diterima, pihaknya akan mengemukakan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut sama ada untuk dituduh atau kes disebut kembali di mahkamah.

Jadsadavit berkata serbuan dan tangkapan yang dibuat berdasarkan siasatan dan maklumat risikan yang dijalankan dalam tempoh tertentu. Foto Astro Awani

Beliau menjangkakan keputusan ujian itu akan dapat diperolehi dalam tempoh sebulan lagi. Kesemua tahanan yang menjalani perintah reman di penjara narathiwat tidak dibenarkan diikat jamin setakat ini.

Pihaknya juga sudah merakamkan percakapan dan pengakuan kesemua tahanan itu yang kelak akan digunakan di mahkamah.

Kata Jadsadavit, undang undang baharu berkaitan dadah di thailand telah berubah termasuk rampasan pil Yaba melebihi sebiji dianggap untuk tujuan mengedar.

Sebelum ini, media melaporkan enam rakyat Malaysia ditahan dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Sungai Golok pada pagi 1 November lepas.

Kesemua yang ditahan itu positif dadah selepas ujian air kencing yang dijalankan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *