Lawatan Rasmi PM Anwar Ke Mesir Perkukuh Hubungan Dua Negara Sejak 65 Tahun

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberikan sambutan negara oleh Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya di Kaherah dan kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan pemimpin itu. Foto Facebook Anwar Ibrahim pada pertemuan di Kaherah pada 23 Oktober 2023

KAHERAH, 9 Nov – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selama empat hari ke Mesir bermula hari ini akan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak 65 tahun lalu.

Ini kunjungan kedua dilakukan Anwar ke negara ini selepas lawatan kerja pertama sebagai Perdana Menteri pada Oktober tahun lalu dan kali ini ia lawatan bersejarah atas jemputan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, bertepatan dengan sambutan 65 tahun hubungan Malaysia-Mesir, esok sejak bermula pada 10 November 1959.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian, berkata pada lawatan kali ini, Anwar akan diberikan sambutan negara oleh Presiden El-Sisi di Istana Al Ittihadiya, di sini, dan kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan pemimpin terbabit.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya di Kaherah pada 23 Oktober tahun lalu. Foto Bernama

Beliau berkata, antara lain, Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan dan pertukaran idea berhubung kerjasama dua hala antara Malaysia dan Mesir terutama membabitkan bidang pendidikan tinggi, pelaburan, perdagangan, pelancongan, industri halal, kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan air, sumber asli serta kelestarian alam.

Katanya, kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama terutama mengenai konflik Palestin.

“Lawatan Perdana Menteri ini bakal melakar satu sejarah penting dalam hubungan di antara Malaysia dan Mesir, membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama serta asas yang menjadi sinergi ke atas usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global demi kepentingan bersama.

“Pada pertemuan ini, Anwar dan El Sisi turut dijadualkan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif dalam bidang hal ehwal Islam.

“Selepas itu, Perdana Menteri akan menyampaikan ceramah umum kepada pelajar dan kakitangan Universiti Al-Azhar, selain menghoskan sesi libat urus bersama kapten industri tempatan dan merasmikan pusat operasi pemasangan (CKD) Proton Saga, di sini,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia, di sini, hari ini.

Anwar yang tiba di Kaherah pada petang ini, akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelesterian Alam (NRES), Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberikan sambutan negara oleh Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya di Kaherah dan kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan pemimpin itu. Foto Bernama

Sementara itu, Mohd Tarid berkata, Mesir adalah rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika dengan nilai dagangan RM3.35 bilion pada tahun lalu, manakala nilai eksport dan import menunjukkan peningkatan positif 21.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga September lalu, nilai dagangan mencecah RM3 bilion dan jumlah itu dijangka melepasi sasaran yang dicapai pada tahun lalu.

“Kita jangka nilai dagangan akan bertambah 60 hingga 70 peratus membabitkan minyak kelapa sawit, selain barangan lain termasuk produk berasaskan getah dan kimia serta makanan diproses,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *