Polis Terima Arahan Pertuduhan Terhadap Zamri, Tamim Tapi Lari Ke Thailand

Penceramah, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak, akan didakwa selepas dibawa pulang dari Thailand kata PDRM pada 13 Mac 2026.
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Polis telah menerima arahan pertuduhan terhadap penceramah, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak, namun mereka telah melarikan diri ke Thailand, kata Ketua Polis Negara.
Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua suspek berjaya dikesan dan dibawa pulang,” menurut kenyataan.
Berkenaan Zamri, penceramah itu disiasat berhubung kenyataan berkait penganjuran perhimpunan di Kuala Lumpur pada 7 Februari.

Arahan pertuduhan diterima polis ialah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan (KK) iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Ia memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan.
Berkenaan Tamim pula, aktivis itu disiasat berhubung tindakan merosakkan ‘soolam’ yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi, Kedah.
Arahan pertuduhan diterima polis ialah Seksyen 295 KK iaitu merosakkan atau mencemarkan apa-apa benda yang dipegang suci oleh mana-mana golongan orang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan orang.

Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan.
Dalam pada itu, Khalid memaklumkan polis telah merujuk kertas siasatan terhadap Zamri ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, berhubung kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap kaum India.
Kertas siasatan dirujuk untuk arahan pertuduhan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
“Polis memberi jaminan akan sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan awam,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
