PM Anwar Berlepas Pulang Ke Ibu Negara, Akhiri Lawatan Ke Sarawak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan sehari ke Sarawak dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tepat jam 8.20 malam pada 13 Mac 2026. Foto UKAS

KUCHING, 13 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke ibu negara selepas selesai melakukan lawatan kerja selama sehari di negeri ini, hari ini.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tepat jam 8.20 malam setelah mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Negeri bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg petang tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Negeri Sarawak di Kompleks Setia Pertiwi, Kuching pada 13 Mac 2026. Foto PMO

Mengiringi beliau ke LTAK ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Ahmad Nadzri Mohd Hassan.

Anwar turut mengaminkan bacaan doa selamat dalam perjalanan sambil menerima album kenangan daripada Douglas Unggah semasa Anwar berada di beberapa lokasi di sekitar Kuching dan Petra Jaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dalam Majlis Tinjauan Bazar Ramadan Taman Sukma Ria, Petra Jaya bersama Premier Datuk Abang Johari Tun Openg dan TPM Datuk Fadillah Yusuf pada 13 Mac 2026. Foto PMO

Dalam lawatan singkat itu, beliau turut berkesempatan berbuka puasa di Bumi Kenyalang bersama barisan pemimpin negeri serta masyarakat setempat di Masjid Jamek Negeri Sarawak dalam suasana penuh muhibah sempena bulan Ramadan.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkesempatan menyantuni para peniaga dan orang ramai di Bazar Ramadan Sukma Ria, Petra Jaya di sini.

Kehadiran beliau di bazar tersebut mencuri tumpuan para pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar serta berinteraksi secara terus dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dalam Majlis Tinjauan Bazar Ramadan Taman Sukma Ria, Petra Jaya bersama Premier Datuk Abang Johari Tun Openg dan TPM Datuk Fadillah Yusuf pada 13 Mac 2026. Foto PMO

”Banyak juadah lazat yang ditawarkan antaranya seperti umai, bongkol dan sambal ikan masin. Saya turut bertegur sapa dengan warga setempat terutamanya para peniaga dan pengunjung.

“Kecekalan para peniaga yang terus berusaha menggerakkan ekonomi kecil-kecilan inilah yang menjadi nadi penting ekosistem ekonomi rakyat, dan kerajaan akan terus berikhtiar memperkukuh dukungan agar mereka berdaya tahan dan berkembang,” ujar Anwar menerusi hantaran di media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Kuching pada 13 Mac 2026. Foto PMO

Pengunjung, Syaiful Daniel Ibrahim, 30, pula menyifatkan lawatan pemimpin nombor satu negara itu membuktikan keprihatinannya terhadap situasi rakyat pada peringkat akar umbi khususnya golongan peniaga kecil.

Turut diumum pada lawatan kerja itu ialah kelulusan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi membaiki baraj Sungai Sarawak serta RM2.69 juta bagi memajukan institusi sekolah pondok dan tahfiz di negeri itu.

Lawatan kerja berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak demi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus diperkasa.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *