Polis Tahan Pemandu Lori Gilis Lelaki Berwatak Wanita

Lokasi mangsa digilis di Jalan Horley hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu menunjukkan, mangsa dikejar sebuah lori putih sekitar jam 4.24 pagi, sebelum berlaku pergelutan dengan suspek.
IPOH, 28 Ogos – Seorang pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki berperwatakan wanita dipercayai dilanggar di Jalan Horley, Kampung Jawa di sini, sekitar jam 6 pagi semalam.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu menunjukkan, mangsa dikejar sebuah lori putih dipercayai dipandu suspek sekitar jam 4.24 pagi, sebelum berlaku pergelutan di lokasi kejadian.

Akibatnya mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia setelah ditinggalkan tanpa bantuan selama beberapa jam.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, semalam.

“Ketika tangkapan, polis turut merampas dua telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
“Lelaki itu kemudiannya awal pagi ini membawa polis ke pondok pengawal di sebuah kawasan perumahan di Taman Tawas Idaman Square di sini, di mana polis menemui dua kunci dan sebuah lori putih yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi proses bedah siasat dan mengenal pasti punca sebenar kematian.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
