Piala Liga: Kelab Divisyen Empat Malukan Man United

Pemain Manchester United Bryan Mbeumo kecewa apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus dimalukan kelab divisyen empat Grimbsy Town ketika aksi Piala Liga Inggeris pada 27 Ogos 2025.

LONDON, 28 Ogos – Manchester United dimalukan dalam saingan Piala Liga selepas tumbang kepada kelab divisyen empat, Grimsby Town, dengan keputusan 12-11 menerusi penentuan sepakan penalti susulan seri 2-2 dalam permainan sebenar.

Kelab Liga Dua itu mendahului 2-0 ketika permainan berbaki 15 minit hasil jaringan Charles Vernam dan Tyrell Warren.

United bangkit menerusi jaringan pertama Bryan Mbeumo bersama kelab itu, sebelum pemain Cameroon berkenaan menjadi watak malang apabila gagal menyempurnakan sepakan terakhir, sekali gus menambah tekanan terhadap pengendali, Ruben Amorim.

Grimbsy Town mengejutkan Manchester United dengan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 2-2 pada masa permainan sebenar di Blundell Park, Grimbsy pada 27 Ogos 2025.

Pengendali dari Portugal itu sudah berdepan kritikan selepas permulaan hambar dalam Liga Perdana Inggeris (PL) musim ini.

Musim lalu, United menamatkan saingan di tangga ke-15, pencapaian terburuk mereka sejak penyingkiran pada tahun 1974.

Kini, satu daripada dua peluang realistik mereka memburu trofi musim ini musnah dalam salah satu keputusan paling memalukan dalam sejarah kelab.

Amorim melakukan lapan pertukaran daripada kesebelasan utama yang seri 1-1 dengan Fulham pada Ahad lalu, namun tetap menurunkan skuad bernilai ratusan juta pound.

Benjamin Sesko membuat penampilan sulung selepas perpindahan bernilai 74 juta pound (RM426 juta) dari RB Leipzig, manakala Andre Onana kembali mengawal gawang dalam aksi yang mahu segera dilupakan.

Grimsby yang menanti kunjungan United sejak tahun 1948 bermula garang dan berhak mendahului pada separuh masa pertama.

Vernam melepaskan rembatan padu menewaskan Onana pada minit ke-22, mengamatkan sebahagian besar daripada 9,000 penyokong di Blundell Park.

Tuan rumah terus memberi kejutan walaupun dipisahkan tiga divisyen. Cameron Gardner sempat menjaringkan gol yang dibatalkan kerana terkenan tangan, namun tidak lama selepas itu mereka menambah gol kedua apabila Onana gagal menangkap bola sepakan sudut, membolehkan Warren mudah menolak masuk.

Kesilapan Onana dijangka menguatkan spekulasi United untuk mendapatkan penjaga gol Belgium, Senne Lammens, sebelum jendela perpindahan ditutup.

Amorim cuba menyelamatkan keadaan di babak kedua dengan memasukkan kapten Bruno Fernandes, Mbeumo dan Matthijs de Ligt.

United menguasai permainan tetapi tumpul sehingga Mbeumo meledak rembatan lencong dari luar kotak penalti untuk merapatkan jurang.

Harry Maguire pula sekali lagi diletakkan sebagai penyerang bidan terjun dan hampir menjadi penyelamat apabila menanduk masuk sepakan penjuru Mason Mount pada minit ke-89 untuk mengikat kedudukan.

Sesko berpeluang menghadiahkan kemenangan lima minit masa tambahan, tetapi percubaannya melambung tinggi, memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

United hampir melengkapkan kebangkitan apabila Matheus Cunha memiliki peluang menamatkan penentuan pada kedudukan 4-4, namun sepakannya ditepis penjaga gol Grimsby, Christy Pym.

Selepas 15 sepakan berjaya disempurnakan termasuk daripada kedua-dua penjaga gol, Mbeumo sekali lagi menjadi watak tragis apabila percubaannya sekadar menggegar palang, menoktahkan malam hitam United.

Dalam aksi lain, Brighton mara ke pusingan ketiga dengan kemenangan 6-0 ke atas Oxford hasil dua gol debutan Stefanos Tzimas. Fulham dan Everton turut layak selepas masing-masing menang 2-0 ke atas Bristol City dan Mansfield.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *