Polis Siasat Komplot Jatuhkan Kerajaan, Sabotaj Kestabilan Negara – KPN

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya pada 26 Februari 2026. Foto PDRM
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Polis sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara yang dipercayai membabitkan seorang tokoh tempatan berpengaruh serta sebuah agensi media antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya pada 26 Februari 2026.
Beliau berkata, siasatan itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun.
“Saya mengesahkan menerima laporan polis semalam dan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa,” katanya.
Mohd Khalid berkata, siasatan masih diteruskan dan masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
