Polis Cekup Wanita Disyaki Terbabit Dalam Judi Dalam Talian

Suspek ditahan di kaki lima sebuah kedai permainan snuker di Selangau pada 6 Mac 2026. Foto PDRM Mukah
MUKAH, 7 Mac – Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 31 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di Jalan Tapang, Selangau pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 3 petang di kaki lima sebuah kedai permainan snuker.
“Pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek menemui aplikasi Mega888 yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
“Telefon bimbit tersebut bersama wang tunai berjumlah RM27 turut dirampas sebagai barang kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan ujian urin mendapati wanita itu bebas daripada pengaruh dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(c) Akta Judi 1953 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 serta penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Muhamad Rizal menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti perjudian dalam talian demi menjaga ketenteraman masyarakat.
- Oleh Andy Sabang
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

