Polis Buru Penghantar SMS Ugutan Loji LNG PETRONAS

Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu dikatakan menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab dan polis sedang memburu individu disyaki menghantar SMS. Foto Razmahwata

KUALA LUMPUR, 9 Sep – Polis sedang mengenal pasti pemilik nombor telefon bimbit yang menghantar mesej ugutan kepada pegawai PETRONAS terkait kemudahan Liquefied Natural Gas (LNG) di Bintulu, Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata siasatan lanjut masih dijalankan berhubung mesej berbaur ugutan berkenaan.

“Kita masih mengenal pasti dan mengesan pemilik nombor telefon berkenaan yang dikesan menghantar mesej ugutan berkaitan fasiliti LNG itu dan terhadap pegawai terbabit.

Petronas berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa susulan ancaman keselamatan yang dimaklumkan MKN pada 8 September 2025. Foto PETRONAS

“Dari sudut keselamatan, kita akan memperketatkan dan mempertingkatkan kawalan kerana difahamkan operasi di sana masih berjalan,” katanya ditemui pada program Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-undang (NAFSLE) Edisi ke-6 2025 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Program dirasmikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dilaporkan berkata laporan polis dibuat pegawai PETRONAS yang bertugas di Bintulu selepas menerima beberapa ugutan melalui SMS daripada individu tidak dikenali.

Pemeriksaan ketat akan dikenakan terhadap kemudahan LNG di Bintulu susulan menerima ancaman seperti dinyatakan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Foto Muhamad Aqil

“Terdapat pegawai di PETRONAS menerima beberapa ugutan daripada individu yang tidak dikenali melalui mesej pesanan ringkas (SMS), jadi setelah beberapa kali menerima ugutan tersebut beliau membuat laporan polis.

“Kita menasihati pihak PETRONAS untuk mempertingkatkan keselamatan di fasiliti masing-masing,” katanya.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan mengesahkan pihaknya menerima pemakluman berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti LNG, khususnya di Bintulu, Sarawak.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *