isu Jana Wibawa kekal sebagai barah yang menjejaskan kredibiliti PN, dan Pas tidak mahu terus menanggung beban reputasi yang bukan mereka cipta. Foto Norman Daud

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Kemelut kepimpinan Perikatan Nasional (PN) semakin hari semakin parah. Bergolak, bercelaru dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan. Inilah nasib sebuah gabungan yang dibina atas sentimen agama dan bangsa, tetapi diisi oleh pimpinan yang meletakkan kuasa dan pangkat sebagai matlamat utama, bukan prinsip yang dilaungkan.

Mesyuarat Presiden PN semalam (Khamis) yang tidak dihadiri Presiden Pas hanyalah manifestasi terbuka kepada krisis yang sudah lama membarah. Sebelum itu, serangan bertalu-talu telah dilancarkan oleh kem Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin Hassan, yang dilihat mewakili suara dalam Pas dan Bersatu yang mahu Hamzah mengambil alih kepimpinan Bersatu dan seterusnya PN. Isyaratnya jelas tekanan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur bukan lagi bisikan, tetapi arahan politik yang terancang.

Perbalahan dan situasi kucar-kacir itulah menyebabkan timbul kesangsian kalangan orang ramai bagaimana untuk Perikatan Nasional tubuh kerajaan, mentadbir dan menguruskan negara sedang perpaduan semasa sendiri pun kucar lanar dan hancur.

Desakan ini bukan bermula semalam. Sejak hujung tahun lalu, suara supaya TSMY meletakkan jawatan semakin kuat. Kekalahan teruk PN di PRN Sabah menjadi pemangkin apabila beliau melepaskan jawatan Pengerusi PN, satu langkah yang sepatutnya diikuti dengan pengunduran sebagai Presiden Bersatu. Namun TSMY memahami hakikat pahit.. jika beliau berundur sepenuhnya, beliau akan “dikuburkan” oleh gabungan yang beliau sendiri bina. Ironinya, pencipta kepada projek politik itu kini menjadi liabiliti terbesar kepada projek tersebut.

Pas pula semakin jelas kehilangan minat untuk terus bergandingan dengan TSMY. Bagi mereka, Muhyiddin sudah kehabisan modal politik, sedangkan Hamzah Zainuddin masih dilihat mempunyai nilai tawar-menawar. Tambahan pula, isu Jana Wibawa kekal sebagai barah yang menjejaskan kredibiliti PN, dan Pas tidak mahu terus menanggung beban reputasi yang bukan mereka cipta.

Di dalam Bersatu sendiri, sokongan kepada TSMY telah lama menghakis. Beliau dilihat terlalu berhati-hati, terlalu “sayang” untuk mengeluarkan dana bagi menggerakkan parti. Bersatu ialah parti yang terbiasa bergerak dengan limpahan wang ketika berkuasa. Apabila kuasa pusat hilang, saluran dana terputus, jentera lumpuh dan gerak kerja hampir terhenti. Politik tanpa dana ialah kerja gila, dan ahli akar umbi mula sedar realiti itu.

Daripada kegagalan inilah muncul gerakan untuk menukar presiden. Hamzah Zainuddin dipersembahkan sebagai alternatif yang lebih “realistik”: lebih agresif, lebih kreatif mencari dana, dan lebih berani mengambil risiko. Soalnya bukan siapa lebih bersih atau lebih bermaruah, tetapi siapa mampu memastikan parti terus hidup. Dalam politik ala Bersatu, moral sentiasa boleh ditangguhkan, asalkan mesin terus berputar.

Pas memahami perkara ini dengan jelas. Mereka bukan parti romantik. Mereka parti survival. Selagi TSMY dilihat sebagai liabiliti dan bukan aset, Pas tidak akan mempertaruhkan masa depan mereka. Sikap dingin, kehadiran yang selektif, dan gerak politik yang semakin menjauh bukan kebetulan, tetapi keputusan yang telah dikira dengan teliti.

Saya kira.. mungkin inilah penamat kepada sejarah panjang TSMY dalam politik. Gerakkan ini terlalu ampuh untuk dipatahkan. Sasaran mereka mudah.. TSMY mesti meletak jawatan selaku Presiden Bersatu.Tapi timbul pula Persoalan tentang kelangsungan Bersatu tanpa TSMY. Bersatu bukan parti ideologi, ia parti personaliti. Dari awal penubuhannya, aura Muhyiddin menjadi paksi.

Ketidak hadiran Abdul Hadi ke kediaman Muhyiddin malam 29 Januari 2026 mencetuskan persepsi negatif terhadap PN yang terus bergolak dengan isu siapa yang menggantikan Muhyiddin selaku pengerusi. Foto Ali Akbar Othman

Tanpa beliau, Bersatu bukan sahaja kehilangan presiden, tetapi kehilangan sebab kewujudan. Jentera mungkin boleh diatur semula, dana mungkin boleh dicari, tetapi pengundi tidak memilih Bersatu kerana lambangnya. Mereka memilih kerana figura di belakangnya.

Hamzah Zainuddin, walaupun dipromosikan sebagai pengganti yang “lebih berfungsi”, sebenarnya hanya solusi dalaman. Beliau mungkin diterima oleh elit parti, tetapi tidak pernah diuji sebagai tarikan nasional. Tiada aura karisma, tiada simbol moral, dan tiada naratif besar yang boleh menggerakkan sentimen pengundi. Dalam konteks pilihan raya, beliau lebih dikenali sebagai operator, bukan pemimpin yang mampu menawan emosi rakyat.

Lebih membimbangkan, penyingkiran TSMY tidak menyelesaikan masalah asas Bersatu. Masalah sebenar bukan siapa presidennya, tetapi ketiadaan akar umbi yang setia, ideologi yang jelas, dan keupayaan bertahan tanpa kuasa. Menukar presiden hanya menukar wajah di hadapan, bukan membaiki struktur rapuh di belakang.

Abdul Hadi didakwa menyatakan perkara itu dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada ketiga-tiga presiden parti gabungan PN, termasuklah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Jika Bersatu terus berpecah pasca-TSMY, senario tenggelam itu bukan sekadar telahan. Ia realistik. Tanpa tokoh besar, tanpa dana berterusan, dan tanpa sokongan rakyat yang tulen, parti itu berisiko menjadi sekadar satelit kepada Pas..hidup atas ehsan, mati tanpa disedari.

Dan akhirnya.. yang paling untung dalam kemelut ini adalah Pas sendiri.

– Oleh Norman Daud

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *