PN Makin Hilang Kredibiliti Bukti MP Tanjong Karang Sokong PM Anwar – Faizul Abdul Ghani

Faizul Abd. Ghani melihat trend sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri akan terus mematikan apa saja langkah menukar kerajaan persekutuan. Foto Arkib
JOHOR BAHRU, 24 Jan – Sokongan terbuka Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan pembangkang terutamanya Perikatan Nasional (PN) semakin hilang kredibiliti hari demi hari.
Menyifatkan perkara itu sebagai amat serius, reformis KEADILAN Johor, Faizul Abd. Ghani melihat trend sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri akan terus mematikan apa saja langkah menukar kerajaan persekutuan.
”Saya menyambut baik pengumuman Ahli Parlimen Tanjong Karang yang seakan sedar PN sudah tidak mampu membela nasib rakyat di kawasannya apabila menjadi pembangkang sejak setahun lalu.
”Namun saya mengingatkan Zulkafperi bahawa sokongan yang diberikan kepada Perdana Menteri mestilah jujur dan ikhlas benar-benar mahu membantu rakyat dan bukannya mengambil kesempatan daripada kelemahan PN sekarang,” katanya.

Faizul yang juga penggerak KEADILAN Cabang Simpang Renggam menasihatkan Zulkafperi bertemu dengan pengundi di kawasannya bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul ekoran peralihan sokongan kepada kerajaan.
Malah beliau juga menggesa mana-mana ahli parlimen pembangkang yang ingin mengikut jejak langkah enam ahli parlimen termasuk Zulkafperi agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau parti.
”Saya juga berpandangan dengan pelantikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari ini mungkin mendorong sesetengah pemimpin pembangkang melihat kestabilan kerajaan perlu diteruskan hingga tamat penggal pada 2027.

”Mereka juga merasakan adalah lebih baik fokus kepada membangunkan kawasan masing-masing dan negara daripada sibuk memberi naratif palsu kononnya kerajaan akan bertukar lagi,” ujarnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan semakin kukuh selepas Sultan Johor menjadi Yang di-Pertuan Agong 31 Januari ini hingga 30 Januari 2029.
Terdahulu Zulkafperi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, ahli parlimen keenam berbuat demikian sejak Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang pertama mengisytiharkan sokongan terbuka dua bulan lalu.
Selain Zulkafperi dan Syed Abu Hussin (Bukit Gantang), empat lagi Ahli Parlimen daripada BERSATU telah mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Dengan peralihan sokongan ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan kini memperolehi 152 sokongan di Dewan Rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
