PMQT: Tuduhan Pembangkang Kononnya Dipinggir Tidak Berasas – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 28 Ogos 2025. Foto Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Tanggapan dibuat sesetengah pihak kononnya kerajaan hari ini meminggirkan negeri tertentu dari segi projek pembangunan, ditempelak Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata angka jelas menunjukkan peruntukan diterima negeri terbabit termasuk yang diterajui Perikatan Nasional (PN) bukan saja naik, malah diperluas kepada pelaksanaan projek mega yang memberi manfaat kepada rakyat.

Contohnya, dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) tegas Anwar, Terengganu, Kelantan dan Pahang antara yang memperoleh peruntukan tertinggi bagi seluruh negara berbanding Selangor dan Johor yang turut mengalami masalah sama.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 28 Ogos 2025. Foto Parlimen

“Ia menolak sebahagian tanggapan bahawa ada peminggiran seperti yang ditohmah selama ini. Bila kita beri angka ini, tidak dihadam dan naratif lama diteruskan. Ini saya tunjuk (angka sebagai bukti) dalam Kerajaan MADANI bukan (mereka) dipinggirkan, malah ditambah peruntukan berdasarkan keperluan.

“Saya sebut di Dewan ini berulang kali mengenai RTB umpamanya, untuk keseluruhan negara RM25.08 bilion (diperuntukkan) dan tertumpu banyaknya di Kelantan, Pahang, Terengganu yang menelan kos RM8.8 bilion,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjelaskan, peruntukan pembangunan diterima negeri juga menyaksikan peningkatan signifikan iaitu bagi tahun perbandingan 2022 hingga 2025, termasuk negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 28 Ogos 2025. Foto Parlimen

“Umpamanya Sabah, kalau kita lihat 2022 ketimbang 2025, untuk perbelanjaan pembangunan itu peningkatan agak mendadak. Dari RM5.2 bilion naik RM6.7 bilion. Sarawak dari RM4.7 bilion pada 2022 naik kepada RM5.9 bilion.

“Terengganu daripada RM1.4 bilion naik RM1.8 bilion. Kelantan RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion. Kedah, daripada RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion dan Perlis, daripada RM0.4 bilion kepada RM0.6 bilion,” katanya.

Sabah dan Sarawak, kata beliau turut menerima manfaat pembangunan lebuh raya dengan nilai peruntukan yang tinggi, seperti Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, dengan kosnya RM15.9 bilion, sementara untuk Sabah Sarawak Link Road, hampir RM10 bilion.

“ECRL yang melibatkan Pahang, Terengganu, Kelantan dan sebahagian Selangor, itu jumlah keseluruhannya RM74.96 bilion. Ini tak termasuk Central Spine Road (CSR) di Pahang, Terengganu dan Kelantan, di mana kosnya RM6.38 bilion.

“Ini bukan soal pilih atau tidak, tapi keperluan. Bekalan air melalui pinjaman di bawah PAAB (Pengurusan Aset Air Berhad), RM1 bilion untuk Kedah, RM1 bilion untuk Kelantan. Ini termasuk skim pemindahan air Jeniang di Kedah dengan kos RM922 juta,” katanya.

Bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pula, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi Hub Lojistik di Sidam, Kedah kosnya RM700 juta sementara RM723 juta lagi untuk kemudahan infrastruktur pembangunan Lembah Chuping, Perlis.

Sementara projek menaik taraf empangan Timah Tasoh fasa tiga juga di Perlis pula, kata Anwar menelan kos RM300 juta.

“Angka-angka ini ada dalam buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan RMK-13. Saya turun ke negeri untuk mendengar, atas permintaan Menteri Besar, mereka cadangkan beberapa keutamaan di mana itu mungkin berbeza dengan keutamaan persekutuan dan Kementerian Kewangan.

“Tapi saya ubah suai untuk bagi jaminan, satu dua keutamaan yang negeri pilih, kita akan terima dan ini saya akan umum dalam Belanjawan 2026,” katanya.

– Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *