PMQT: PM Anwar Tempelak Pembangkang Diam Bila Ringgit Terbaik Di Asia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 11 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak hipokrasi dimainkan pembangkang yang mengecam kerajaan ketika ringgit turun tetapi tiada kredit diberikan ketika ringgit terus mencatatkan prestasi memberangsangkan ketika ini.

Tegas Perdana Menteri, ringgit kini didagangkan pada RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 11 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim

“Dulu kita diserang bertubi-tubi (kerana) ringgit jatuh (tetapi) sekarang bila ringgit mengukuh, tak sebut sepatah pun (pujian), inilah masalahnya. Jadi, sekarang ini, (paras ringgit) RM4.16 berbanding satu dolar AS dan muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia,” ujarnya.

Beliau berkata penilaian itu bukan ditentukan oleh kerajaan sebaliknya susulan penarafan kredit positif oleh agensi penarafan antarabangsa, S&P Global Ratings dan Moody’s Ratings yang masing-masing mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada A- dan A3, yang membawa makna prospek yang stabil dan kukuh.

Pada 6 petang semalam, ringgit meningkat 0.4 peratus kepada 4.1555/1635 berbanding dolar AS daripada 4.1735/1775 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Semakan prestasi ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat jam 12.40 tengah hari 11 November 2025. Foto Yahoo! Finance

Angka itu menjadi paras tertinggi ringgit dalam tempoh 13 bulan selepas mencatatkan 4.1625 pada 2 Oktober, 2024.

Setakat 8.01 pagi hari ini, ringgit meningkat kepada 4.1540/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1555/1635 ketika ditutup semalam.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai cara kerajaan mengukur keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI selepas tempoh 18 hingga 24 bulan serta usaha pengukuhan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan dasar tersebut benar-benar mencapai matlamatnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *