PMQT: Malaysia Hanya Bantu Selaras Konflik Thailand-Kemboja – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 11 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia hanya bertindak sebagai penyelaras bagi meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, kedua-dua negara berkenaan sendiri yang meletakkan syarat antara satu sama lain dan Malaysia bertindak selaku tuan rumah dan meminta perdamaian dilaksanakan.
“Kita (Malaysia) selaraskan dan bila kita panggil mereka (Thailand-Kemboja), saya kata mereka tentukan apa (syarat). Saya hanya bantu selaraskan dan mohon perdamaian, jadi bukan kita letakkan syarat dia,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut membidas tindakan sesetengah individu yang seolah-olah mengambil kesempatan terhadap konflik Thailand-Kemboja dengan menyifatkan Malaysia gagal dalam usaha perdamaian berkenaan.
Meskipun usaha damai itu masih belum berjalan sepenuhnya, beliau berkata, Malaysia masih berhubung rapat dengan kedua-dua negara terbabit bagi memastikan perjanjian damai itu dapat diteruskan.
Ujarnya, ketegangan yang berterusan bukan sahaja menjejaskan hubungan antara Thailand dan Kemboja, malah berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.

“Kalau tanya saya, kita doa bagi selesai (konflik). Yang kita seronok nak tunjuk bergaduh sebab Malaysia tak berjaya, ini sikap sangat merugikan.
“Doa bagi gagal perjanjian itu nak tunjuk Perdana Menteri gagal. Saya nak doa bagi aman kerana kalau dia (Thailand-Kemboja), kesannya kepada kita, dan itu tanggungjawab kita.
“Saya masih Pengerusi ASEAN sehingga Disember dan kedua-dua mereka masih berhubung dengan kita. Saya tugaskan Panglima Angkatan Tentera semalam segera dapatkan laporan supaya kita dapat bantu,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang Ahli Parlimen pembangkang bertanya mengenai tindakan Thailand yang menggantung pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja susulan insiden letupan periuk api terbaharu.
Menurut Perdana Menteri, insiden itu mencetuskan keraguan pihak Thailand yang mendakwa wujud penglibatan Kemboja dalam kejadian berkenaan, sekali gus menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap perjanjian damai.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
