PM Australia Puji Agenda Malaysia MADANI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Government House, Melbourne, hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
MELBOURNE, 4 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan kepada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, mengenai agenda Malaysia MADANI yang merintis jalan ke hadapan untuk masyarakat Malaysia dengan merangkumi nilai keadilan, kehidupan mampan serta cara berfikir yang kreatif dan inovatif.
Kenyataan bersama Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia menyebut, Albanese memuji usaha Anwar, di samping kedua-dua pemimpin itu juga berkongsi pandangan mengenai kepentingan membina dan mengekalkan institusi demokrasi yang mantap, disokong oleh perkhidmatan awam yang profesional serta bermotivasi tinggi.
“Kedua-dua pemimpin membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan masing-masing, termasuk mengalu-alukan penubuhan Program Pengukuhan Institusi Australia-Malaysia bagi memudah cara pertukaran institusi antara Parlimen dan agensi-agensi perkhidmatan awam, selain mempercepatkan pembaharuan tadbir urus,” katanya.

Malaysia MADANI ialah salah satu dasar kepemimpinan negara diusulkan oleh Perdana Menteri yang memfokus kepada keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan dan tadbir urus baik.
Malaysia MADANI adalah berlandaskan enam perkara, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan serta ihsan, selain mengetengahkan lapan aspek membabitkan ekonomi, kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
