PM Anwar Utus Takziah Pemergian Prof Syed Muhammad Naquib

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang disifatkan beliau antara pemikir terbesar pada zaman ini pada 9 Mac 2026. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan menteri kabinet hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga tokoh pemikir peradaban Islam, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, yang meninggal dunia petang semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar meluahkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang disifatkan beliau antara pemikir terbesar pada zaman ini.
Beliau berkata, Allahyarham bukan sekadar seorang ahli falsafah, tetapi tokoh yang mengajak masyarakat menilai bukan sahaja apa yang diketahui, malah tujuan sebenar ilmu itu sendiri.

“Melalui karya-karya penting termasuk ‘Islam and Secularism’ serta karya agungnya ‘Prolegomena to the Metaphysics of Islam‘ Allahyarham mencabar proses sekularisasi ilmu dan membina asas intelektual kepada pandangan alam Islam.
“Pemikiran Allahyarham bukan sahaja didengari di Malaysia, malah turut memberi kesan besar kepada dunia Islam secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata, Syed Muhammad Naquib meninggal dunia pada malam ke-19 Ramadan pada usia 95 tahun.
“Ini adalah kehidupan yang dilalui dengan penuh makna dan pemergian yang meninggalkan legasi besar,” katanya.
Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta semua yang pernah menimba ilmu daripadanya.
Beliau turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan rahmat dan kedudukan tertinggi di sisi Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyifatkan pemergian Allahyarham bukan sekadar seorang sarjana terkemuka, malah tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan pemikiran dan peradaban Islam melalui karya serta gagasan intelektualnya.
“Pemergian Almarhum bukan sekadar kehilangan seorang tokoh, tetapi hilangnya sebutir permata ilmu bagi umat Islam.
“Almarhum dikenali sebagai mujaddid, pemikir dan ilmuwan yang menyalakan kembali obor ilmu serta adab dalam dunia Islam,” katanya.
Zulkifli berkata, warisan pemikiran dan perjuangan Allahyarham bukan sahaja menghidupkan wacana intelektual, malah menyumbang kepada penubuhan institusi penting seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

Beliau berkata, walaupun pemergian Allahyarham amat dirasai, tetapi warisan ilmunya akan terus hidup, mendidik generasi demi generasi.
Sementara, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula menyifatkan pemergian Allahyarham dalam bulan Ramadan amat dirasai, kerana sumbangan yang besar dalam mengangkat martabat ilmu, adab dan peradaban Islam.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum, mengampuni segala dosa-dosanya, serta menempatkannya dalam kalangan para solihin.
“Sesungguhnya jasa dan pemikirannya akan terus hidup, menjadi panduan kepada generasi ilmuwan dan umat seluruhnya,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut berduka cita atas pemergian Allahyarham.
“Pemergian Almarhum adalah kehilangan besar kepada negara dan dunia intelektual Islam.
“Salam takziah kepada seluruh keluarga Almarhum. Semoga Allah SWT mencucuri roh Almarhum dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
