PM Anwar Seru Pendekatan Berhemah Dalam Konflik Asia Barat, Sokong Rundingan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat antarabangsa bertindak segera dan berkesan bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa serta implikasi meluas terhadap negara lain pada 9 Mac 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan kepentingan pendekatan berhemah dan diplomatik, berikutan konflik yang berlarutan di Asia Barat.
Menerusi hantaran di media sosial dalam Bahasa Inggeris, Anwar menegaskan, Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha sahih untuk menghentikan permusuhan melalui rundingan.
Selain menyeru masyarakat antarabangsa bertindak segera dan berkesan bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa serta implikasi meluas terhadap negara lain.

“Selaras dengan pendirian bipartisan yang berprinsip yang diambil oleh Parlimen Malaysia, saya terdorong dengan seruan agar mengekalkan kewaspadaan yang telah muncul daripada pihak tertinggi di Iran di tengah konflik yang berterusan di negara Teluk dan Asia Barat.
“Seruan itu wajar diambil dengan serius dan dihormati. Sentiasa ada suara yang menggesa pendekatan lebih tegas, tetapi sejarah jarang menyebelahi mereka yang memilih eskalasi berbanding rundingan apabila pintu dialog masih terbuka dan untuk menjaganya, ia memerlukan keberanian sebenar.
“Situasi semasa dilihat amat membimbangkan. Negara seperti Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menjadi sasaran serangan berulang, manakala keganasan turut merebak ke Azerbaijan, Jordan dan Turkiye.
“Infrastruktur kritikal termasuk kemudahan tenaga dan air yang menjadi keperluan harian jutaan orang turut terjejas, sementara laluan minyak dan perkapalan dunia berisiko terganggu,” ujar Anwar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
