PM Anwar Utus Takziah, Dukacita Kepada Sultan Selangor, Permaisuri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus ucapan takziah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin atas kemangkatan bonda Permaisuri, Hajah Esah Tahar pada 28 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 28 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan mengutus ucapan takziah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin atas pemergian bonda kepada Tengku Permaisuri, Allahyarhamah Hajah Esah Tahar.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya ke atas roh Allahyarhamah Hajah Esah serta memberikan ketabahan kepada seluruh keluarga diraja Selangor dalam menghadapi kehilangan ini.
Terdahulu menurut kenyataan rasmi di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berangkat ke Makam Diraja Shah Alam bagi mengiringi persemadian allahyarhamah.

“Jenazah Allahyarham disemadikan di Makam Diraja Shah Alam bersebelahan pusara suami, Allahyarham Abdul Rahman Baba yang meninggal dunia pada 2021.
“Allahyarham yang berusia 82 tahun, lahir di Klang, Selangor dan meninggalkan tiga orang anakanda termasuk anakanda bongsu, Tengku Permaisuri Norashikin,” demikian kenyataan itu hari ini.
Awal pagi ini, media melaporkan Allahyarhamah Esah menghembuskan nafas terakhir jam 5.15 pagi, di sebuah hospital pakar di Damansara kerana sakit tua.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
