PM Anwar Ucap Takziah Atas Pemergian Bekas Perdana Menteri China Zhu Rongji

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Zhu sebagai antara tokoh penting yang membentuk transformasi ekonomi China dan seorang sahabat yang baik.

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Perdana Menteri China, Zhu Rongji yang meninggal dunia pada usia 97 tahun.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar menyifatkan Zhu sebagai antara tokoh penting yang membentuk transformasi ekonomi China dan seorang sahabat yang baik, serta pembaharuan yang dilaksanakannya membantu mempercepat kebangkitan negara itu sebagai kuasa besar ekonomi.

“China kehilangan seorang daripada arkitek hebat dalam transformasi ekonomi, dan saya juga kehilangan seorang sahabat baik. Pembaharuan yang dilaksanakan Zhu membantu mempercepat kebangkitan luar biasa negara itu sebagai kuasa besar ekonomi,” ujar beliau.

Anwar berkata, pada 1990-an, beliau dan Zhu bekerjasama untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan antara Malaysia dengan China, dengan sebahagian besar usaha yang mereka bina pada era itu terus menjadi teras kepada hubungan dua hala hingga kini.

Perdana Menteri turut mengimbas kenangan peribadi bersama-sama Zhu, termasuk lawatan ke kampung halaman Confucius, Tai Shan dan tapak bersejarah yang dikaitkan dengan Laksamana Zheng He serta kunjungan ke perpustakaan peribadinya semasa Zhu menghadiahi beliau beberapa karya klasik China yang dipilihnya sendiri.

“Zhu seorang negarawan yang disegani, namun saya akan mengingati beliau, terutamanya sebagai seorang insan yang mempunyai keperibadian tinggi, didorong oleh rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap negaranya.

“Salam takziah kepada isteri, anak-anak beliau dan rakyat China,” kata Anwar.

Zhu berkhidmat sebagai Perdana Menteri China dari 1998 hingga 2003 dan diiktiraf secara meluas atas pembaharuan berorientasikan pasaran yang besar, menstruktur semula perusahaan milik kerajaan dan menerajui penyertaan negara itu ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *