PM Anwar Ucap Tahniah Kejayaan Natasha Rangkul Kejuaraan Boling Piala Dunia 2025

Kejayaan Natasha Roslan menjuarai Boling Piala Dunia 2025 kategori wanita dan Rafiq Ismail yang menjadi naib juara kategori lelaki menerima pujian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto kecil). Foto MTBC
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Natasha Mohamed Roslan sebagai luar biasa selepas menjadi atlet boling wanita pertama negara merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong pada Jumaat.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, pencapaian atlet berusia 28 tahun itu sangat membanggakan negara.
“Hebat! Memang luar biasa! Natasha Roslan melakar sejarah menjadi pemain boling wanita pertama negara menjuarai Piala Dunia,” tulis Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada pemain tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail yang meraih pingat perak bagi acara perseorangan lelaki.
Perdana Menteri berharap kejayaan kedua-dua individu itu menjadi sumber inspirasi kepada yang lain untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia.
Menjengah di ruangan komen di Facebook Perdana Menteri, rata-rata warganet turut mengucapkan tahniah kepada wira negara.
”Tahniah mengharumkan nama Negara Di persada dunia,” tulis Noorlia Ramli.

Sementara Afiqah Emir pula menulis “Tahniah. Ternyata Malaysia ada athlete bertaraf dunia.👏👏”.
Natasha menamatkan kemarau 53 tahun negara tanpa kejuaraan kategori individu wanita di Kejohanan Piala Dunia 2025 bagi acara berkenaan sejak dipertandingkan pada 1972.
Ia juga menjadi koleksi gelaran dunia ketiga buat atlet kelahiran Selangor itu selepas mengungguli Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait dan menjuarai kejohanan sama dalam acara berpasukan wanita bersama Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Datuk Shalin Zulkifli pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
