PM Anwar ‘Turun’ Ke Sabah Tumpu Segerakan Projek Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 26 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah hari ini bagi meninjau pembaikan beberapa projek pembangunan penting untuk rakyat, termasuk membangunkan semula Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat tanah runtuh.
Ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, Perdana Menteri berkata, kampus berkenaan sukar dibaiki kerana kerosakan menyeluruh.

Justeru, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memindahkannya ke kawasan lain.
“Perkara ini tidak ada dalam perancangan awal Kementerian Kewangan, tetapi beberapa penyesuaian harus dibuat.

“Kalau tanya bahagian belanjawan, mereka akan jawab setuju guna peruntukan sedia ada, cuma saya akan ubah suai sedikit,” katanya.
Pada 19 September lalu, Perdana Menteri turun meninjau lokasi tanah runtuh IPG Kampus Gaya termasuk ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengarahkan kerja-kerja membaik pulih kerosakan bangunan yang terjejas akibat tanah runtuh dipercepatkan.

Perdana Menteri berkata pihaknya juga mahu laporan lebih terperinci daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
“Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) telah mengemukakan laporan awal ke Jemaah Menteri Rabu lalu.

“Kita menunggu laporan akhir yang saya minta semuanya segera,” katanya.
Pada 10 September lalu, KPM mengarahkan pengosongan serta-merta bangunan kuarters berhampiran lokasi tanah runtuh di IPG Kampus Gaya bagi memastikan keselamatan semua warga kampus terjamin.
KPM dalam kenyataan memaklumkan beberapa langkah segera turut diambil termasuk merobohkan blok bangunan yang terjejas untuk memberi laluan kepada binaan baharu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
