PM Anwar Tunai Solat Sunat Aidiladha Bersama Warga Putrajaya

Datuk Seri Anwar ketika hadir bagi menunaikan solat sunat Aidiladha 1444 Hijrah di Masjid Putra di Putrajaya hari ini. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 29 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Putra di sini, pagi ini.
Perdana Menteri yang lengkap berbaju melayu biru muda tiba di masjid berkenaan pada jam 8.15 pagi.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut dilihat hadir.
Solat sunat dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali, itu turut disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Ini adalah solat sunat Aidiladha pertama Anwar bersama warga Putrajaya sebagai Perdana Menteri selepas dilantik menerajui pentadbiran kerajaan
Sejak jam 7 pagi, perkarangan Masjid Putra mula dipenuhi orang awam termasuk pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk melihat dari dekat suasana solat sunat Aidiladha.

Khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Nilai Pengorbanan’ dibacakan Salahuddin antaranya menyentuh ibadah yang disyariatkan dalam sambutan Aidiladha.
Jelasnya, ibadah khusus yang terdapat pada hari raya Aidiladha memiliki nilai dan dimensinya yang tersendiri seperti penyerahan diri, konsep tawakal dan pengorbanan dalam usaha meraih keredaan Allah SWT.
Melalui ibadah itu, diterapkan nilai kepasrahan diri dan penyerahan diri yang tinggi.
“Ia tidak hanya berkait dimensi perhubungan antara makhluk dengan sang pencipta, tetapi juga mempunyai dimensi sosial antara manusia dengan manusia.
“Pada masa yang sama, ia menerapkan nilai ihsan dalam hubungan antara manusia dengan haiwan yang akan disembelih,” katanya.
Sebelum beredar, Anwar meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.
