Kehadiran PM Anwar Dapat Sambutan Luar Biasa Jemaah Masjid Putra

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikerumuni rakyat dan warga asing selepas menunaikan solat sunat Aidiladha 1444 Hijrah di Masjid Putra, Putrajaya. Foto NSTP
PUTRAJAYA, 29 Jun – Ribuan individu di Masjid Putra, di sini tidak berganjak dan terus memenuhi perkarangan masjid sebaik selesai solat sunat Aidiladha, semata-mata untuk menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambutan luar biasa mengiringi kehadiran Perdana Menteri yang julung kali menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini, pagi tadi.
Anwar ketika bercakap kepada media sempat menitipkan ucapan ringkas bersempena Aidiladha.
“Eid mubarak, selamat semua, tenang semua. Sabar dan semangat pengorbanan semua, Insya-Allah. Selamat negara, selamat umat,” katanya sebelum meninggalkan Masjid Putra, jam 9.20 pagi tadi.

Perkarangan Masjid Putra turut dipenuhi warga asing yang mahu bersalaman dengan Anwar.
Sementara itu, penceramah bebas, Dr Zakir Naik turut dilihat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra.
Zakir yang menetap di Malaysia dilihat beredar lebih awal sebaik selesai solat sunat Aidiladha.
Pada masa sama, ratusan jemaah dalam kalangan warga asing cuba untuk mendekatinya, sebaik beliau keluar dari masjid.
