PM Anwar Tinjau Projek Pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS)

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan ke tapak projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Lumut pada 15 Jun 2025. Foto L Manimaran
LUMUT, 15 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau kemajuan pelaksanaan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), Pangkalan TLDM Lumut, di sini.
Ketibaan Perdana Menteri untuk mendengar taklimat kemajuan semasa pembinaan lima kapal LCS TLDM itu disambut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, memaklumkan LCS kedua (LCS 2) sudah diturunkan ke permukaan air pada 8 Mei lalu.
Kini, meneruskan kerja pembinaan seterusnya sedang dilaksanakan dan aktiviti fasa Setting to Work (STW) dirancang dilaksanakan pada September ini.

Kerja-kerja berkenaan antara fasa penting dalam memastikan keseluruhan struktur asas dan kelengkapan teknikal diuji dan diberi kelulusan dalam tempoh ditetapkan.
“Ia selepas kejayaan LCS 1 diluncurkan ke permukaan air mengikut jadual kontrak pada 23 Mei 2024 dan memulakan fasa STW bermula Mei 2025 serta dirancang menjalani aktiviti First Sea Sailing (pelayaran pertama di laut) pada Disember akan datang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sehingga 25 Mei lalu, kemajuan kerja keseluruhan yang dicapai bagi pembinaan kelima-lima LCS adalah sebanyak 72.43 peratus di bawah pemantauan rapi Kementerian Pertahanan bersama pemegang taruh.
“Kemajuan kerja pembinaan bagi LCS 3 hingga LCS 5 masih mengikut perancangan, dengan kapal-kapal itu dijangka diserahkan mengikut jadual, iaitu LCS 3 pada 2027, manakala kapal seterusnya selang lapan bulan kemudian sehingga LCS 5 siap sepenuhnya pada 2029.
“Pemantauan rapi oleh kementerian ini bersama pemegang taruh iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, dan Jabatan Peguam Negera akan terus dilaksanakan.

“Ia bagi memastikan tindakan intervensi dapat diambil secara proaktif oleh LUNAS, sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaan projek,” kata kenyataan itu.
Mac lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, projek bernilai RM11 bilion bagi pembinaan kelima-lima LCS lewat 1.68 peratus, iaitu mencapai 71.62 peratus berbanding perancangan sepatutnya 73 peratus.
Kelewatan itu disebabkan masalah peralatan yang sepatutnya dibekalkan oleh pihak pengeluar peralatan asal (OEM).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
