PM Anwar Tiba Di Cebu Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Cebu, Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 pada 7 Mei 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim
CEBU, 7 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Cebu, Filipina hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung sehingga esok.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Pangkalan Udara Mactan-Benito Ebuen di sini kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata, sidang ini akan memberi tumpuan antaranya kepada kemelut bekalan tenaga global saat ini, selain menggilap idealisme dan semangat ASEAN sebagai keluarga dan kesatuan yang erat, kuat dan bertanggungjawab.
“ Alhamdulillah, saya dan Azizah baru sudah mendarat di Kota Cebu, Republik Filipina tengah hari ini. Saya di sini bagi mewakili negara untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang pada tahun ini dipengerusikan Filipina,” ujar Anwar.

Ketibaan beliau disambut Setiausaha Kabinet Filipina yang juga Menteri Pengiring, Sharin S. Garin; Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro serta Datuk Bandar Bandaraya Lapu-Lapu, Cynthia King Chan.
Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, Anwar turut dijadual menyertai Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) petang ini.
Sepanjang berada di Cebu, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan beberapa mesyuarat dua hala bersama pemimpin negara anggota ASEAN.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak kali ini mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN, perpaduan serantau serta daya tahan ekonomi dan geopolitik rantau ini dalam suasana global yang semakin mencabar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
