PM Anwar Terima Pelawaan Syarahan Di Universiti Oxford

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Oxford (Oxford Centre for Islamic Studies) di Putrajaya pada 29 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 29 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima undangan daripada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) untuk mengadakan lawatan serta menyampaikan syarahan di Universiti Oxford pada suatu masa yang bersesuaian.
Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata, undangan itu diterima beliau semasa menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Pemegang Amanah OCIS di Seri Perdana, Putrajaya, pada Isnin.

Anwar berkata, delegasi berkenaan terdiri daripada bekas Presiden Turkiye, Dr Abdullah Gul; bekas Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Dr Mohammed Al-Sabah; Pengarah OCIS Dr Farhan Nizami dan Felo OCIS, Datuk Dr Afifi al-Akiti.
“Kami bertukar pandangan terkait perkembangan hal ehwal ekonomi dan hubungan antarabangsa dunia Islam, khususnya dalam memupuk dialog antara dunia Islam dengan Barat, di samping memperkukuh kefahaman mengenai ekonomi dan pasaran Islam,” kata Perdana Menteri.

Ini merupakan jemputan berprestij kepada Perdana Menteri bagi menjelaskan isu-isu terkait seperti Islamofobia dan kekejaman berterusan Israel di Gaza.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
