PM Anwar Seru Negara Islam Fokus Tindakan Bersama Tamatkan Pencerobohan Israel

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan singkat bersama pemimpin Arab Saudi, Turkiye, Pakistan, Jordan dan Kuwait di luar Sidang Tergempar Negara Arab-Islam di Doha pada 15 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 16 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perlunya tindakan bersama yang lebih tegas bagi menamatkan pencerobohan Israel, mempertahankan kedaulatan negara Arab-Islam serta menjamin hak rakyat Palestin yang dizalimi di Gaza.
Menerusi hantaran Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, perkara itu dinyatakan semasa pertemuan ringkas dengan beberapa pemimpin di luar Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar semalam.

Pemimpin berkenaan ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Raja Jordan Raja Abdullah II Al Hussein; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.
“Kami menekankan sokongan penuh terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rakus dan biadab rejim Zionis Israel, di samping memperkukuh kesepakatan untuk membela Palestin,” kata beliau.

Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan serangan Israel terhadap Doha pada 9 September lalu.
Serangan di kawasan Leqtaifiya itu membabitkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, mengorbankan enam orang termasuk anak pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, manakala pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.

Terdahulu pada Kenyataan Negara yang disampaikan Anwar, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya dan tanpa sebarang keraguan serangan udara Israel terhadap kota Doha ini sendiri.
“Melontarkan bom bertubi-tubi ke atas ibu kota sebuah negara berdaulat adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan, tidak mempunyai undang-undang dan sama sekali tidak dapat dipertahankan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
