PM Anwar Seru Kerajaan Negeri Tingkat Usaha Naik Taraf Warung, Gerai

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni peniaga di medan selera pada majlis perasmian D’Anjung Selera MADANI Jalan Jujur, Bandar Tun Razak hari ini. Foto Bernama.
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua kerajaan negeri supaya mempunyai dasar dan perancangan jelas dalam usaha menaik taraf dan mengindahkan gerai dan warung di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, beliau telah berbincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), menteri besar dan ketua menteri, agar mereka mempunyai dasar yang seragam dalam membangun kemudahan medan selera, gerai atau warung yang menyumbang kepada pendapatan rakyat terbanyak.

“Saya telah bincang dan jelaskan mengenai hasrat kerajaan kepada menteri besar, ketua menteri berkaitan usaha membangun kemudahan rakyat terbanyak ini, asasnya adalah untuk mengangkat martabat serta memberi penghormatan ihsan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Saya harap dalam beberapa bulan ini kita dapat lihat kerajaan negeri dan juga majlis perbandaran berkaitan keluar dengan rencana sendiri mengenai usaha membangun kemudahan ini di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan medan selera D’Anjung Selera MADANI di Bandar Tun Razak dekat sini hari ini.
Hadir sama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan para pegawai serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Anwar berkata dasar dan perancangan yang jelas amat penting dalam usaha menukar wajah suram medan selera, gerai dan warung secara menyeluruh di seluruh negara, seiring usaha yang sedang digiatkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL kini dalam menaik taraf serta mengindahkan gerai penjaja di sekitar kawasan ibu negara.
D’Anjung Selera MADANI Jalan Jujur kini mempunyai 24 buah gerai dan tiga buah kios berkonsepkan ruang terbuka dengan pelbagai hidangan bercirikan Malaysia serta aneka kuih-muih enak dengan persekitaran mesra alam.
Para pengujung yang ditemui memuji usaha Perdana Menteri mentransformasikan medan selera menjadi sebuah lokasi sehenti pelbagai juadah enak dengan pelbagai kemudahan awam disediakan termasuk tandas dan surau.
