PM Anwar Serah Kepada Pihak Berkenaan Jawab Isu Kumpulan Sulu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan D’Anjung Selera Jalan Jujur, Bandar Tun Razak pada Sabtu. Foto Harapan Madani.
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyerahkan kepada pihak yang berkenaan untuk menjawab berhubung isu tuntutan kumpulan Sulu ke atas kerajaan Malaysia.
“Itu biar orang lain jawab,” katanya ringkas kepada pemberita, di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan kumpulan Sulu yang bertindak biadap apabila menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meminta bayaran pampasan.
Terdahulu Perdana Menteri merasmikan pembukaan semula Medan Selera D’Anjung Selera MADANI di Jalan Jujur, Bandar Tun Razak dekat sini.
Yang turut hadir, isteri beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, waris Sulu menuntut bayaran sebanyak AS$16 bilion atau bersamaan RM73.46 bilion termasuk caj tuntutan daripada Malaysia.
“Saya dimaklumkan dua tiga hari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menerima surat daripada peguam waris Sulu menulis surat yang amat biadab, mendakwa mereka bukan sahaja ada hak ke atas Sabah malah berhak ke atas tuntutan dari Malaysia.
“Tuntutan sebanyak AS$14.92 bilion (RM68.50 bilion) kini meningkat kononnya dikenakan faedah dan kini berjumlah AS$16 bilion (RM73.46 bilion).
“Surat peguam waris Sulu itu sudah dijawab Peguam Negara yang menyatakan jangan memandang rendah keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam berdaulat dan merdeka,” katanya.
