PM Anwar Sampaikan Sumbangan Kepada 6,500 Keluarga, 2,000 Pelajar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan berswafoto bersama rakyat setempat ketika hadir merasmikan Program Muhibbah MADANI anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda, pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

BUKIT MERTAJAM, 11 Jan – Seramai 6,500 keluarga dan 2,000 murid sekolah rendah dan menengah bertuah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas harian dan barangan persekolahan sempena program Muhibbah MADANI di sini pada Sabtu.

Perdana Menteri dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menganjurkan program berskala besar berkenaan dan memberi sumbangan kepada penerima terpilih daripada kumpulan B40 dan anak yatim di bawah Parlimen Permatang Pauh itu.

“Terima kasih kepada Yayasan Muhibah dan Yayasan Global Mesra kerana mengambil inisiatif, kerjasama dengan Bank Rakyat dengan kerjasama MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) dan kerajaan negeri untuk menyelaras dan memudahkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersalaman bersama para penerima ketika hadir merasmikan Program Muhibbah MADANI anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda, pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Program ini program menyantuni rakyat, banyak inisiatif daripada badan sukarela. Sebab itu saya pilih untuk hadir berikan dukungan atas usaha yang baik ini,” katanya sebelum merasmikan program berkenaan, di sini, pada Sabtu.

Barangan keperluan asas harian bernilai RM100 setiap satu itu disumbangkan oleh Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia manakala bantuan barangan persekolahan berupa beg, uniform sekolah serta alat tulis merupakan sumbangan Bank Rakyat.

Selain penyampaian bantuan, pihak penganjur turut menyediakan jamuan istimewa untuk lebih 6,000 tetamu sebagai tanda kasih dan solidariti kepada komuniti setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersalaman bersama para pelajar ketika hadir merasmikan Program Muhibbah MADANI anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda, pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pengerusi Ko-Khawan, Datuk Eng Yee Koon berkata kehadiran, Perdana Menteri, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di program itu menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyantuni golongan memerlukan.

“Sebagai penganjur, kami amat terharu dan berterima kasih dengan sokongan pemimpin peringkat nasional dan negeri untuk menjayakan program kali ini. la membuktikan pemimpin ini mempunyai matlamat sama dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat kurang bernasib baik,” katanya.

Menurut Yee Koon, Yayasan Muhibah Malaysia yang ditubuhkan tahun lepas adalah hasil inisiatif Ko-Khawan dengan misi utama untuk membantu golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim, ibu bapa tunggal dan pelajar daripada golongan B40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersalaman bersama para penerima ketika hadir merasmikan Program Muhibbah MADANI anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda, pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Fokus utama kami tahun lepas adalah menyediakan bantuan berkaitan pendidikan seperti uniform sekolah, komputer, yuran tuisyen dan program pembelajaran dalam talian kepada 1,000 pelajar seluruh negara.

“Ini bagi memberi peluang kepada mereka untuk mencapai kejayaan akademik walaupun berdepan cabaran hidup akibat kemiskinan,” tambah beliau.

Yee Koon berharap lebih ramai usahawan berjaya akan menyertai Ko-Khawan serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang diperkenalkan untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40 terutama menerusi kecemerlangan akademik.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *