Kawal Selia Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet, Media Sosial Mampu Tangani Jenayah Dalam Talian

Langkah kawal selia yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025 bertujuan melindungi pengguna daripada dieksploitasi untuk tujuan jenayah seperti penipuan (scam), fitnah dan berita palsu, buli siber serta penyebaran kandungan pronografi atau ancaman berbentuk keganasan.
KUALA LUMPUR, 12 Jan – Langkah kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan kawal selia baharu terhadap perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet adalah langkah penting dalam mengawal jenayah dalam talian daripada berleluasa.
Seiring perkembangan pesat teknologi digital, tidak dinafikan platform media sosial dan aplikasi pesanan telah menjadi saluran utama komunikasi, tetapi juga sering dieksploitasi untuk tujuan jenayah seperti penipuan (scam), fitnah dan berita palsu, buli siber serta penyebaran kandungan pronografi atau ancaman berbentuk keganasan.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad, pelaksanaan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mampu membendung pemalsuan wajah atau deepfakes yang semakin berleluasa dalam talian.

Beliau juga menegaskan bahawa langkah yang diambil kerajaan bukan drastik mahupun bersifat mengongkong kebebasan berkomunikasi atau melahirkan perasaan masyarakat.
Sebagai contoh, Suruhanjaya Eropah telah mengambil langkah awal apabila pada 2021 mencadangkan undang-undang untuk mengawal selia AI.
Oleh itu, kawal selia yang lebih ketat dapat memastikan penyedia perkhidmatan ini bertanggungjawab dalam mengekang penyalahgunaan platform mereka termasuk mempromosi aktiviti jenayah tanpa disedari pengguna.
Melalui kawal selia baharu ini, kerajaan dapat mengenakan kewajipan terhadap penyedia perkhidmatan untuk memantau dan menghapuskan kandungan yang berbahaya atau menyalahi undang-undang, seperti elemen kebencian, penipuan, dan eksploitasi seksual.
Penyedia perkhidmatan juga boleh diwajibkan untuk menyediakan mekanisme aduan yang efisien serta meningkatkan keselamatan data pengguna bagi mencegah kebocoran data peribadi yang boleh digunakan oleh penjenayah dalam talian.
Di samping itu, kawal selia ini membolehkan pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan platform digital untuk melakukan aktiviti jenayah.
Dengan adanya undang-undang yang lebih jelas dan penguatkuasaan yang ketat, perkhidmatan media sosial dan pesanan internet boleh menjadi lebih selamat, mengurangkan risiko jenayah dalam talian, dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap penggunaan teknologi digital.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



