PM Anwar Salur Sumbangan Bantu Rawatan S. Amin Shahab

Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi menziarahi Syed Mohd Amin Syed Hashim Al Shahab atau S. Amin Shahab yang dilaporkan menghadapi masalah jantung baru-baru ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakilkan Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi menziarahi Syed Mohd Amin Syed Hashim Al Shahab atau S. Amin Shahab yang dilaporkan menghadapi masalah jantung baru-baru ini.

Menerusi hantaran di laman media sosial, Perdana Menteri dimaklumkan bahawa kesihatan penulis lirik tersohor, pengarah filem dan pelukis tanah air itu beransur pulih selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dalam sesi ziarah ini, saudara Farhan turut sampaikan sumbangan bagi pihak saya bagi menampung kehidupan harian dan kos perubatan beliau,” ujarnya.

Anwar turut mendoakan S. Amin Shahab dikurniakan afiyah dan kekuatan untuk terus berkarya.

Mengimbau kembali, Anwar pernah menerima kunjungan S. Amin bersama Datuk M. Nasir pada 2018 berbicara soal industri muzik tanah air seraya tertarik dengan lagu karya sifu bertajuk ‘Bila Rumi Menari’.

Seniman S. Amin Shahab ketika bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 bersama Datuk M. Nasir. Foto X Anwar Ibrahim

“Lagu beliau berjudul ‘Bila Rumi Menari’ yang berirama rancak dan sarat dengan mesej cinta dan falsafah itu ternyata memberi kesan yang mendalam pada AI,” kata Anwar ketika itu.

Sebelum ini, Anwar turut memberi sumbangan kepada ramai artis dan penggiat seni tanah air yang menghadapi masalah kesihatan antaranya Ebby Yus, Ali XPDC dan Sarimah Ahmad.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *