PM Anwar Rafak Sembah Ucapan Tahniah, Ikrar Taat Setia Kepada Agong, Permaisuri

KUALA LUMPUR, 27 FebDatuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen ke-15 dalam Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia di Dewan Rakyat menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat serta kesejahteraan daripada pemerintahan seorang Raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata serta negara.

“Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya amat berkeyakinan dengan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan ucapan itu oleh Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(j) Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merafak sembah ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Sidang Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama

Anwar ketika ucapan sama turut merafak sembah ucapan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan Dewan Rakyat kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun lalu dengan adil dan bijaksana.

“Saya yakin seluruh rakyat jelata merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Tuanku dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya yang turut mendoakan semoga baginda berdua terus dilimpahi segala kehormatan serta kebesaran dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT. – BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *