PM Anwar, Presiden Trump Saksi Pemeteraian Perjanjian Damai Thailand-Kemboja

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi saksi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur 2025 antara Thailand dan Kemboja pada 26 Oktober 2025. Foto AFP

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi saksi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur 2025 antara Thailand dan Kemboja bagi menamatkan serangan bersenjata yang tercetus di sempadan kedua-dua negara pada Julai lalu.

Majlis pemeteraian bersejarah itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, sambil disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan para pemimpin ASEAN serta wakil AS.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi saksi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur 2025 antara Thailand dan Kemboja pada 26 Oktober 2025. Foto X White House Reps

Turut hadir Setiausaha Negara AS Marco Rubio, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) Antonio Costa serta pemimpin daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta wakil Afrika Selatan iaitu Presiden Cyril Ramaphosa.

Majlis berkenaan diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan membabitkan rakan-rakan dialog seperti AS, China, Kanada, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan India.

Terdahulu dalam ucapannya, Trump memuji peranan penting dimainkan Anwar dalam membantu merealisasikan usaha damai kedua-dua negara.

Trump ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja bagi memulihkan keamanan di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi pertikaian dua negara pada 26 Oktober 2025. Foto AFP

Tindakan itu, katanya penting untuk mencegah konflik yang sekian lama berlarutan antara dua negara berjiran daripada kian memburuk.

Trump menegaskan Anwar sudah memainkan peranan penting dalam meyakinkan kedua-dua pihak iaitu Thailand dan Kemboja dan membawa mereka ke Kuala Lumpur untuk berunding.

“Ia bermula disebabkan komitmen yang utuh terhadap usaha memastikan keamaan dan kestabilan (di rantau ASEAN),” katanya.

Beliau berkata demikian majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja bagi memulihkan keamanan di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi pertikaian dua negara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *