PM Anwar, Presiden Trump Adakan Pertemuan Dua Hala

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. Foto AFP

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Kedua-dua pemimpin menghadiri pertemuan itu sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Perjanjian Damai Kuala Lumpur itu yang ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, menandakan langkah rasmi ke arah menghentikan permusuhan serta memulihkan keamanan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi saksi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur 2025 antara Thailand dan Kemboja pada 26 Oktober 2025. Foto AFP

Difahamkan antara inti pati pertemuan Anwar dan Trump berkisar tentang isu pemulihan semula Gaza, perang di Ukraine, rundingan tarif AS dan isu keselamatan global.

Terdahulu ketika keluar dari pesawat Air Force One yang mendarat jam 9.54 pagi di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi lawatan sulungnya ke Malaysia, Trump juga dilihat melambai sebelum disambut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. Foto AFP

Kedua-dua pemimpin dilihat berbual mesra sambil berjalan melepasi barisan kawalan kehormat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum Anwar memperkenalkan beliau kepada beberapa ahli Kabinet Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan, berkata tarif semikonduktor, perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau antara topik yang dijangka dibincangkan semasa lawatan sulung Trump ke Malaysia.

Menurut Kagan, Malaysia rakan kongsi yang amat penting bagi AS memandangkan syarikat negara itu telah membuat pelaburan besar dalam sektor ini, khususnya yang menumpukan kepada rantaian bekalan Barat.

Trump ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja bagi memulihkan keamanan di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi pertikaian dua negara pada 26 Oktober 2025. Foto AFP

Hubungan dua hala antara Malaysia dan AS kekal kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957. Pada 2014, kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan itu kepada Tahap Perkongsian Komprehensif.

AS antara rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan bernilai RM324.91 bilion (USD71.39 bilion) pada 2024.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *