PM Anwar, Presiden Erdogan Zahir Komitmen Bersama Perjuang Hak, Maruah Rakyat Palestin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbualan telefon dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada 5 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen Malaysia terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dan berdiri teguh bersama Turkiye dalam mempertahankan hak serta maruah mereka.
Komitmen itu dizahirkan Perdana Menteri dalam satu panggilan telefon dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan petang Khamis, sambil menyatakan penghargaan kepada pemimpin dunia itu terhadap suara dan pendirian teguh yang konsisten dalam memperjuangkan hak warga Palestin yang tertindas.
“Kami sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh.
“Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdogan untuk menggunakan segala wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Presiden Erdogan membuat panggilan telefon berkenaan bagi menyampaikan salamnya kepada Anwar sempena Hari Raya Aidiladha.
Perbualan telefon itu juga menyentuh kunjungan rasmi Erdogan ke Malaysia baru-baru ini yang disifatkan Anwar antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan lawatan itu memperkukuh asas hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
“la antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara, tidak sekadar pertukaran protokol tetapi turut disulami dengan rundingan yang substantif yang menyentuh kepentingan bersama.
“Saya melihat kunjungan ini sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju yang jitu kedua dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye, terutamanya dalam membentuk satu kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke tengah pentas dunia.
“Dalam semangat Aidiladha, pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan llahi Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
