Pindaan PPKB 2021 Strategi Serampang Dua Mata Lindungi Peniaga Kecil, Buru Kartel LPG

KPDN berkata sepanjang tempoh pelaksanaan OPS GASAK dan sehingga pindaan PPKB (Pindaan) 2021 dimuktamadkan, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap perniagaan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil yang menggunakan silinder LPG bersubsidi bagi kegunaan premis perniagaan mereka.

PENDAPAT, 6 Jun – Langkah kerajaan meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan 2021) yang diluluskan Jemaah Menteri untuk dibawa pada Sidang Dewan Rakyat Oktober ini sebenarnya merupakan langkah serampang dua mata dalam melindungi kepentingan peniaga kecil serta memastikan subsidi yang disediakan kerajaan benar-benar dinikmati golongan sasaran.

Pindaan ini merupakan manifestasi iltizam kerajaan untuk mengekang tindakan kartel industri yang mengaut keuntungan secara tidak sah (decanting) dengan menyalahgunakan subsidi, terutamanya dalam konteks penjualan gas petroleum cecair (LPG) yang menjadi keperluan harian rakyat.

Ketegasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali wajar diberi penghargaan kerana dalam melindungi perniagaan kecil yang rata-ratanya berpendapatan rendah, kementerian tidak berganjak meneruskan Op Gasak yang memberi tumpuan penuh menyelamatkan wang rakyat.

Melalui Op Gasak yang dilaksanakan oleh KPDN, kerajaan berjaya membongkar modus operandi kartel yang menyorokkan bekalan LPG bersubsidi dan menjualnya di pasaran gelap dan industri yang tidak layak menikmati subsidi itu yang kini mencecah RM4 bilion setahun.

Dalam kenyataan pada Khamis, KPDN menjelaskan kelonggaran itu akan berkuat kuasa sehingga pindaan baharu terhadap PPKB dimuktamadkan menjelang Oktober 2025.

Sepanjang tempoh pelaksanaan OPS GASAK dan sehingga pindaan PPKB (Pindaan) 2021 dimuktamadkan, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap perniagaan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil yang menggunakan silinder LPG bersubsidi bagi kegunaan premis perniagaan mereka.

Peniaga mikro dan kecil dibenarkan mendapatkan bekalan LPG bersubsidi tanpa memerlukan PPKB.

Sambil bersetuju dengan langkah KPDN, Ketua Cabang KEADILAN Pengerang Faizul Abdul Ghani berharap agar operasi berkenaan turut membongkar pihak-pihak yang mengaut keuntungan hasil daripada kelemahan pindaan peraturan yang dilaksanakan sejak 2021 itu.

“Sebenarnya pihak-pihak yang bising dengan pelaksanaan Op Gasak tidak layak bercakap soal melindungi kepentingan rakyat kerana mereka masih lagi ‘trauma’ dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga akal fikiran mereka kurang waras dalam membuat pindaan ketika itu.

“Mekanisme yang dilakukan Kerajaan Madani ini bukan setakat membetulkan kesilapan yang mereka lakukan tetapi melindungi kepentingan para peniaga kecil yang tidak tahu-menahu tentang kewujudan peraturan itu hingga menyusahkan mereka sekarang,” tegasnya.

Tambahnya, tindakan tegas ini bukan hanya memastikan bekalan barang kawalan tidak terputus kepada pengguna, malah secara langsung memberikan kelegaan kepada peniaga kecil seperti pemilik restoran, warung dan pengusaha makanan seperti pisang goreng yang amat bergantung pada harga gas bersubsidi bagi kelangsungan perniagaan mereka.

Justeru, pindaan PPKB ini juga memperkukuhkan kuasa penguatkuasaan dan membolehkan tindakan yang lebih pantas diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan itu termasuk pemindahan LPG bersubsidi secara tidak sah yang jelas berlaku ketirisan dalam subsidi kerajaan kepada rakyat.

 

“Saya berpendapat kerajaan secara jelas menghantar mesej bahawa tiada ruang untuk kompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan subsidi yang menjejaskan keadilan sosial dan ekonomi rakyat.

“Ini sekaligus menjadi mekanisme penambah baikan yang menjaga kesejahteraan peniaga kecil, memastikan kelangsungan perniagaan mereka, serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.

Malah beberapa pengguna turut menyokong langkah KPDN itu yang mahukan kerajaan serta pihak berkuasa meneruskan Op Gasak tanpa mengira industri atau siapa yang menjalankan perniagaan tanpa mengikut peraturan yang sah.

“Terima kasih YB Menteri dan jemaah menteri. Inilah yang perlu dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” kata Muhammad Razlan Abdullah.

“Rajin-rajinkan buat operasi mengejut dekat premis-premis mewah dan kedai-kedai warga asing. Kompoun biar tinggi, baru la takut buat salah. Jangan susahkan rakyat tempatan nak cari makan.

“Cukup la guna istilah subsidi kerana minyak tu sumber dalam negara. Jual harga lain la untuk rakyat sendiri. Untuk orang kaya dan warga asing berniaga jual harga market (harga tanpa subsidi),” kata Khatijah.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *