PM Anwar Pimpin Pasukan KEADILAN Baharu Sesi 2025-2028

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada sesi penggulung sempena hari terakhir Kongres Nasional KEADILAN 2025 pada 24 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Presiden KEADILAN yang juga Pengerusi Pakatan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mengetuai pasukan pimpinan KEADILAN baharu untuk meneruskan agenda reformasi partinya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kira-kira dua tahun dari sekarang.

Perdana Menteri diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden KEADILAN iaitu bagi penggal ketiganya selepas menggalas tanggungjawab itu sejak 2018.

Mengikut perlembagaan KEADILAN, ini menjadi penggal terakhirnya sebagai teraju utama parti, memandangkan jawatan utama KEADILAN itu hanya dihadkan untuk dipegang maksimum selama tiga penggal.

Kini, misi Anwar meneruskan perjuangan reformasi parti serta dalam pentadbiran kerajaan diterajuinya akan turut dibantu barisan pemimpin partinya yang sebahagian besarnya adalah muka baru dan anak muda.

Selain bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang diumum menang jawatan Timbalan Presiden KEADILAN, turut membantunya nanti adalah empat Naib Presiden terpilih.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada sesi penggulung sempena hari terakhir Kongres Nasional KEADILAN 2025 pada 24 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Mereka adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Beliau juga dijangka akan melantik beberapa lagi pemimpin untuk mengisi jawatan Naib Presiden (lantikan) termasuk seorang wakil pemimpin dari Sabah dan Sarawak.

Sumber pemimpin parti yang dihubungi turut memaklumkan penyandang Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli yang tewas dalam pemilihan kali ini turut dijangka diberi peranan penting dalam parti untuk memperkukuh sekali gus membuat persiapan rapi parti menghadapi PRU ke-16.

Pemilihan PKR 2025 juga berlangsung dengan penuh tertib dan aman, tanpa sebarang pergaduhan fizikal seperti berlaku dalam pemilihan 2018 dan sebelumnya, sekaligus menunjukkan kematangan parti dalam menyerlahkan semangat demokrasinya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *