Malaysia Akan Terus Perjuang Nasib Rakyat Palestin – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada sesi penggulung sempena hari terakhir Kongres Nasional KEADILAN 2025 pada 24 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
JOHOR BAHRU, 24 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan buat rakyat Gaza dan menentang penjajahan Israel dalam apa jua bentuk keadaan.
Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara kecil, Malaysia berusaha sebaiknya menyuarakan hak dan pembebasan rakyat Palestin setiap kali hadir di pentas antarabangsa.
“Memang di banyak negara orang mengharapkan kita berusaha lebih lantang lagi. Saya fikir ini menyedihkan kerana ia menunjukkan kemunafikan dalam sistem politik dunia yang sungguh-sungguh mengaibkan.

“Paling akhir, ada usaha-usaha negara Eropah untuk menyekat penjualan senjata yang baharu ke Gaza. Agak terlambat (kerana) 50,000 wanita dan kanak-kanak yang hari-hari semasa lulus bantuan kemanusiaan, hari itu juga dibom, dunia kelu,” katanya.
Anwar, yang juga Presiden KEADILAN berkata demikian dalam ucapan penggulungan sebelum menangguhkan Kongres Nasional KEADILAN 2024/2025 yang berakhir di sini hari ini.
Beliau berkata, KEADILAN menghargai pihak yang mempunyai pendirian menyuarakan keadilan terhadap nasib Palestin termasuk kenyataan Paus Leo XIV yang menyeru gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza.

“Kenyataan pertama itu kadang-kadang suaranya itu lebih hebat daripada pemimpin Islam yang lain.
“Jadi, kita akan terus perjuangkan keadilan dan hak menentang penjajahan, penjajahan mana-manapun kita tentang termasuk penjajahan Israel ke atas bumi Gaza,” katanya.
Agensi berita Anadolu pada 13 Mei melaporkan sekurang-kurangnya 52,908 rakyat Palestin maut dalam serangan genosid yang dilancarkan Israel sejak Oktober 2023.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana melakukan serangan di kawasan berkenaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
