PM Anwar Minta Rakyat Tidak Terpedaya Cubaan Pihak Kutip Derma Rawat Rakyat Palestin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat kabinet mingguan di Putrajaya pada Rabu. Foto Facebook Mohamad Sabu
PUTRAJAYA, 28 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab mengutip derma kononnya bagi membiayai kos keperluan rakyat Palestin yang dirawat di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata peringatan itu disuarakan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Katanya, kerajaan tidak pernah mengutip atau meminta derma bagi tujuan terbabit.
“Selepas dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) baru-baru ini, kerajaan tidak mengutip derma bagi tujuan membantu membiayai sama ada mengusahakan masakan bagi warga Palestin yang menerima rawatan ketika ini.

“Perdana Menteri meminta supaya rakyat berwaspada sekiranya menerima sebarang makluman atau mesej yang dihantar di media sosial oleh mana-mana pihak memohon derma serta mendakwa mengutip derma untuk membantu warga Palestin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sekiranya ada orang awam yang menerima mesej sedemikian, diminta segera membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Ditanya sama ada MCMC menerima aduan berkaitan perkara itu, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada suruhanjaya berkenaan.

Pada 16 Ogos lalu, media melaporkan seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang, di sini.
Ketibaan mereka sekitar jam 2 hingga 2.30 petang itu dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), turut disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebelum ini, sekumpulan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan individu dilaporkan menyuarakan kekhuatiran ke atas kritikan yang diterima kerajaan atas keputusan untuk membawa 127 rakyat Palestin untuk dirawat di Malaysia.
Bagaimanapun, Perdana Menteri dilaporkan menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
