Kerajaan Beri Kelonggaran PDRM Kendali Projek Perumahan Anggota

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) berbual dengan Saifuddin Nasution (dua, kiri), Razaruddin (dua, kanan) dan Ayob Khan (kanan) pada Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, hari ini. Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM, 9 Mac – Kerajaan sedia memberikan kelonggaran kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan projek berkaitan kemudahan dan kebajikan anggotanya bagi mempercepatkan proses naik taraf infrastruktur itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kelonggaran itu diberikan kepada PDRM mulai tahun lalu, selepas pihaknya mendapati berlaku kelewatan dalam projek terutamanya perumahan anggota.
“Apabila saya perhatikan perumahan polis dan tentera termasuk penjara, itu kadang-kadang daif sangat.
“Jadi kita ambil keputusan mulai tahun lalu, untuk polis saya bagi kelonggaran.
“Supaya kalau tidak terikat dengan proses tender biasa dan diserahkan kepada PDRM mengendalikan projek dengan maksud cepatkan pembinaan rumah anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama PDRM dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
