PM Anwar Luncur Kios Sentuhan MADANI Pertama Esok

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan meluncurkan Kios Sentuhan MADANI di pusat beli-belah Alamanda, di sini jam 3 petang esok. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 8 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual meluncurkan Kios Sentuhan MADANI yang pertama, iaitu inisiatif terbaharu untuk memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
Perdana Menteri dijadual akan meluncurkan kios berkenaan di pusat beli-belah Alamanda, di sini jam 3 petang esok.
Menurut Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI Pejabat Perdana Menteri, Mohd Khalid Mohamed Latiff, berkata kios berkenaan menghimpunkan lebih 90 perkhidmatan kerajaan yang disediakan melalui enam kios agensi dan syarikat berlainan.

Enam kios yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan MyDigital ID.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober tahun lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu semua perkhidmatan kerajaan diselaras bagi memudahkan rakyat berurusan di luar waktu pejabat.
“Urusan kerajaan melibatkan perniagaan juga perlu dinilai semula. Ini juga satu hal yang merumitkan.
“Mengapa perlu dibebankan syarikat dengan terpaksa mendaftar secara berasingan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan HRD Corp sedangkan maklumat pekerja adalah sama? Sebaiknya, pendaftaran syarikat dapat disekalikan. Kerajaan bertegas untuk menelusuri hal ini,” kata Perdana Menteri.
Difahamkan sebanyak 38 buah pusat beli-belah akan terbabit dalam inisiatif ini yang dijangka mampu meningkatkan kecekapan penyampaian sistem kerajaan dalam waktu yang lebih panjang selain menitik beratkan keselesaan rakyat yang ingin mengakses perkhidmatan yang diingini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

