PM Anwar Lawat Brunei Sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan negara Sultan Brunei ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana pada 4 Ogos tahun lalu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Brunei dari 25 hingga 26 Ogos bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan (ACL) ke-25 antara Malaysia dan Brunei, satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata semasa rundingan ALC ini, Anwar dan Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah akan mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan isu-isu yang tertunggak.

“Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” kata kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.

Kenyataan media Wisma Putra sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei pada 25 hingga 26 Ogos 2024. Foto X Wisma Putra

Wisma Putra berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka akan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Anwar akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“ALC ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara, yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa dan warisan,” kata Wisma Putra.

Pada 2023, Brunei Darussalam merupakan rakan perdagangan ke-30 terbesar Malaysia dan rakan perdagangan keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan berjumlah RM9.31 bilion (US$2.04 bilion).

Jumlah eksport ke Brunei Darussalam pada tahun lepas bernilai RM6.4 bilion (US$1.4 bilion), manakala jumlah import bernilai RM2.91 bilion (US$0.64 bilion). Jumlah lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia, bernilai RM3.49 bilion (US$0.76 bilion).

Dari Januari hingga Mei tahun ini, Malaysia mencatat jumlah dagangan sebanyak RM3.53 bilion (US$0.75 bilion) dengan Brunei.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *