Kerjasama Persekutuan, Negeri Dan Penjawat Awam Perkukuh Pemulihan Ekonomi – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup SUKMA Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada Sabtu. Foto Bernama
KUCHING, 24 Ogos – Kerjasama baik antara Jemaah Menteri, kerajaan negeri dengan penjawat awam mengukuhkan lagi keupayaan Kerajaan Perpaduan dalam memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketika Kerajaan Perpaduan mula ditubuhkan pada November 2022, kerajaan menghadapi cabaran besar berikutan ekonomi yang tidak menentu.
“Kita juga menghadapi kekangan hutang besar menyebabkan ekonomi terumbang-ambing.
“Namun saya bersyukur kerana dengan kekuatan semua pihak terutama pasukan Jemaah Menteri serta kerajaan negeri dan jentera penjawat awam, sekarang kita menyaksikan jumlah pelaburan sangat tinggi masuk ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada upacara penutupan Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan kenamaan lain.
Dalam pada itu Anwar menambah, keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin kukuh dan ia terbukti dengan pengumuman Amazon Web Services (AWS) membuat pelaburan jangka panjang berjumlah RM29.2 bilion di negara ini.
“Ini adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan kerajaan dan dasar ekonomi kita.
“Kita menjadi pusat industri dan pelaburan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, malah sekarang Sarawak pula muncul sebagai gergasi ekonomi yang meyakinkan,” katanya.
Selangor akan menjadi tuan rumah temasya SUKMA ke-22 pada 2026.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
