PM Anwar Lakukan Kunjungan Hormat Ke Atas Presiden Xi Jinping, Bertemu PM Li Qiang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping di Great Hall of the People, Beijing pada 2 September 2025. Foto Bernama

BEIJING, 2 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Li Qiang.

Beliau terlebih dahulu mengadakan kunjungan hormat ke atas Xi di Dewan Agung Rakyat (Great Hall of the People), di sini kira-kira jam 6.15 petang.

Dalam pertemuan itu, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Xi kerana menjemput beliau menyertai Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin pada 1 September lalu.

Presiden China, Xi Jinping dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Great Hall of the People di Beijing pada 2 September 2025. Foto Reuters

Anwar berkata, beliau juga menantikan peluang bersama Xi esok untuk menyaksikan Perarakan Kemenangan kerajaan China di Dataran Tiananmen sempena sambutan 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Beliau menegaskan bahawa sambutan itu bukan sahaja menghantar mesej tentang ketahanan, tetapi juga mengenai pendidikan.

Anwar berkata, ia juga selaras dengan Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) yang diumumkan oleh Xi semasa SCO.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail disambut Presiden China Xi Jinping dan isteri Peng Liyuan pada Majlis Makan Malam Gala sempena SCO di Tianjin pada 31 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Inisiatif oleh Xi itu menggesa kepada sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama, mengutamakan pendekatan berfokuskan rakyat dan tindakan nyata.

Anwar berkata, lawatan Xi ke Malaysia pada April lalu disambut baik oleh semua pihak.

Beliau turut menyatakan harapan bahawa hubungan istimewa Malaysia-China akan memimpin dunia.

“Lawatan anda amat hebat, diterima dengan sangat baik oleh Raja dan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama Presiden China Xi Jinping dan isteri Peng Liyuan serta pemimpin dunia pada Majlis Makan Malam Gala sempena SCO di Tianjin pada 31 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Kami berada di sini, sudah tentu, untuk memastikan apa yang telah dipersetujui akan dilaksanakan dengan cepat kerana saya mahu hubungan strategik dan komprehensif yang istimewa ini memimpin dunia. Jadi, sekali lagi, terima kasih,” katanya.

Perdana Menteri ditemani oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.

Anwar kemudian mengunjungi Rumah Tetamu Negeri Diaoyutai untuk pertemuan dua hala dengan Li.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di Tianjin, China pada 1 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau dan delegasi Malaysia juga dijamu pada satu jamuan rasmi.

Anwar sedang melakukan lawatan kerja selama empat hari ke China, lawatan keempat sejak 2023 sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada November 2022.

Di Tianjin, beliau menghadiri dan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus 2025.

Awal hari ini, beliau mempengerusikan beberapa mesyuarat bersama pemimpin industri China.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu 120 pemimpin syarikat dan konglomerat China semasa sesi Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-China di Beijing pada 2 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Esok, beliau akan menyertai pemimpin dunia lain di Dataran Tiananmen untuk menyaksikan perarakan Hari Kemenangan China.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *